EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Warga Johor ambil kesempatan bercuti di Melaka

0 month ago, 22-Nov-2020

BANDA HILIR 22 Nov. Susulan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini, ramai warga Johor memilih Melaka sebagai destinasi pilihan untuk bercuti.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) mendapati pusat pelancongan di Banda Hilir kelihatan kembali bernyawa apabila mula dikunjungi orang ramai yang ingin melempiaskan tekanan selepas dua minggu tidak berpeluang untuk merentas negeri.

MUSTAFA

Seorang pengunjung dari Muar, Mustafa Sulaiman, 59 berkata, dia bersama keluarganya memilih Melaka sebagai destinasi percutian kerana lokasinya yang begitu hampir dengan rumah, selain negeri bersejarah ini turut mempunyai pelbagai tarikan.

Sebelum ini memang kami sering ke Melaka sebab ada saudara-mara yang tinggal di sini dan kita juga suka menjelajah pelbagai tempat menarik yang ada.

Biasanya kami suka pergi makan ikan bakar pada waktu malam dan di sebelah siang kami akan berjalan-jalan di bandar.

Seperti hari ini, saya bersama lima lagi ahli keluarga memilih untuk mencuci mata di sekitar Sungai Melaka dan selepas ini mungkin kami akan ke Pantai Klebang, katanya kepada Melaka Hari Ini.

ZALEHA

Sementara itu, seorang lagi pengunjung dari Bandar Muar, Zaleha Ismail, 58 menarik nafas lega apabila kerajaan menarik pelaksanaan PKPB di empat buah negeri termasuklah Melaka dan Johor.

Jelasnya, pengumuman tersebut membuatkannya merancang perjalanan ke Melaka bersama anak-anak untuk mengambil udara luar di negeri orang selepas berkurung sejak 4 November lalu.

Memang gembira dan lega bila dengar pengumuman penamatan PKPB. Selepas sekian lama memilih untuk di rumah, sebab itulah kami merancang percutian di Melaka.

Percutian ini pun hanya sehari sahaja iaitu kami bertolak pada jam 9 pagi dan akan pulang semula ke Muar pada lewat petang nanti, ujarnya.

Bagi Siti Noor Maisara Shawaludin, 35, dari Batu Pahat, meski pun kini sudah boleh merentas negeri-negeri hijau, namun dia bersama keluarga tidak mengambil remeh isu keselamatan dan sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) di tempat-tempat pelancongan.

Bercuti, bercuti juga, tapi kami tidak boleh ambil mudah kerana kita masih belum menang daripada pandemik COVID-19. Kami sekeluarga memang sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dan sepanjang di Melaka hari ini saya melihat semua tempat pelancongan juga menitik beratkan perihal SOP, katanya.



SUMBER : melakahariini.my



Live Website Traffic


loading...