EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Wabak hingus laut mencemari perairan Turki

0 month ago, 07-Jun-2021

Hingus laut yang mencemari perairan Turki. - Foto Anadolu Agency
Oleh AMREE AHMAD

ANKARA Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berikrar menyelamatkan perairan negara itu daripada wabak hingus laut yang membimbangkan saintis biologi marin dan pencinta alam.

Bahan berlendir tebal yang terdiri daripada sebatian dilepaskan oleh organisma laut itu, telah berkembang di Laut Marmara sebelum merebak di Laut Hitam dan Laut Aegean berdekatan.

Erdogan dipetik media Turki berkata bahawa bahan buangan yang dibuang ke dalam laut dan faktor perubahan iklim telah menyebabkan mukus laut tersebut pantas berkembang pesat.

Istanbul, bandar raya terbesar di Turki dengan lebih 16 juta penduduk, dan lima wilayah lain, yang merupakan hab industri penting di negara itu terletak bersebelahan laut berkenaan.

Wabak yang turut dirujuk sebagai musilaj marin itu telah mencecah tahap kemuncak pada tahun ini di Turki apabila pemandangan seperti hingus dapat dilihat jelas di atas permukaan air.

Ia membentuk lapisan kelabu berlendir di sepanjang pantai Istanbul dan wilayah berdekatan. Rakaman video di bawah permukaan air turut menunjukkan batu karang diselaputi mukus laut.

Susulan itu, Erdogan mengarahkan Kementerian Alam Sekitar Turki bekerjasama dengan institusi relevan, majlis perbandaran dan universiti bagi memusnahkan hingus jijik tersebut.

Kumpulan penyelidik tempatan dan antarabangsa telah dikerah memeriksa air kumbahan domestik dan pusat bahan buangan sisa pepejal, selain sumber pencemaran, kata beliau.

Kami akan menyelamatkan laut kami daripada bencana musilaj marin ini malah kami mesti mengambil langkah ini tanpa berlengah-lengah lagi, kata Erdogan dalam nada agak tegas.

Pakar marin dalam pada itu menyalahkan bahan buangan manusia dan pencemaran industri sebagai punca utama sehingga mengakibatkan berlaku senario penyumbatan laut Turki.

Mereka mendakwa bahawa kenaikan suhu air di laut akibat perubahan iklim pada masa sama telah menyumbang kepada masalah hingus tersebut untuk menjadikan keadaan lebih buruk

-BebasNews

Please follow and like us:



SUMBER : bebasnews.my



Live Website Traffic


loading...