EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Ujian keserasian bakal diperkenalkan bagi kurangkan penceraian pasangan muda

0 month ago, 10-Jul-2019

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bercadang menawarkan 'ujian keserasian' (compatibility test) yang boleh digunakan secara sukarela kepadapasangan sebelum berkahwin sebagai langkah mengurangkan kes perceraian dalam kalangan pasangan muda.

Timbalan menterinya Hannah Yeoh berkata, statistik Kajian Penduduk dan Keluarga Kelima (KPKM-5) menunjukkan perceraian dalam kalangan pasangan muda di seluruh Malaysia berlaku dalam lima tahun pertama mendirikan rumah tangga dengan alasan yang digunakan adalah kerana tiada persefahaman.

"Kita lihat ramai terburu-buru untuk berkahwin tetapi mereka tidak mengenali diri sendiri dan tidak mengenali pasangan.

Maka kita pertimbangkan sama ada hendak wujudkan 'compatibility test' untuk orang yang bujang sebelum mereka berkahwin supaya mereka boleh datang (buat ujian keserasian), orang yang hendak kahwin, kalau mereka ingin tahu sama ada pasangan mereka sesuai atau tidak, mereka boleh buat 'compatibility test' dulu," katanya yang dipetik Berita Harian dalam soal jawab di Parlimen semalam.

Beliau memberikan jawapan berkenaan sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Azizah Mohd Dun (PH-Beaufort).

Dalam masa sama, Yeoh menjelaskan kementeriannya kini sedang dalam proses mempertimbangkan mewujudkan kandungan kursus program praperkahwinan tersebut melalui atas talian.

Ini kerana, walaupun mereka hadiri kursus dua hari, tapi dalam dua hari itu, mereka hanya main telefon saja dan tidak mendengar nasihat, katanya.

Tambahnya lagi, kementerian juga akan bekerjasama dengan beberapa agensi lain termasuk NGO untuk kursus praperkahwinan bukan Islam dan Islam bagi mengenal pasti elemen atau topik yang perlu ditambah nilai.

Selain itu pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sama ada kursus praperkahwinan akan turut diwajibkan untuk pasangan bukan Islam.

Berdasarkan Penerbitan Perangkaan Perkahwinan dan Penceraian 2018 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan tertinggi perkahwinan berlaku dalam kumpulan umur 25 hingga 29 tahun bagi kedua-dua jantina.

Manakala, bilangan perceraian juga menurun kepada 3.2 peratus daripada 51,642 orang pada tahun 2016 kepada 49,965 orang pada tahun 2017.

Peratusan tertinggi perceraian berlaku dalam kumpulan umur 30 hingga 34 tahun bagi kedua- dua jantina.

Kes perceraian tertinggi bagi orang Islam mengikut negeri adalah di Selangor, diikuti Johor dan seterusnya Kedah manakala kes penceraian tertinggi bagi orang bukan Islam mengikut negeri adalah di Selangor, diikuti Johor dan seterusnya negeri Perak.

: Berita Harian, The Star

Ujian keserasian bakal diperkenalkan bagi kurangkan penceraian pasangan muda Era Baru Malaysia.


SUMBER : erabaru.com.my



Live Website Traffic





www.edisiviral.com