EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

PKP 2.0, ujian getir produk pelancongan Melaka

0 month ago, 14-Jan-2021
save 2.0
Kawasan tumpuan pelancong di Bandar Hilir lengang tanpa kehadiran pengunjung menerusi tinjauan menggunakan dron semalam.

AYER KEROH 14 Jan Sebanyak 664 produk pelancongan di Melaka berdepan situasi sukar dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula semalam hingga 26 Januari ini.

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka (BPP) Jabatan Ketua Menteri, Saari Basiron berkata, ia berikutan semua produk pelancongan dalam 13 sub sektor pelancongan di negeri ini tidak dibenarkan beroperasi kecuali bahagian penghotelan.

Katanya, antara sub sektor pelancongan yang terjejas adalah sejarah, budaya, rekreasi, konvesyen, sukan dan beli-belah.

Selain itu, kesihatan, pendidikan, agro pelancongan, industri makanan, Melaka My Second Home, pelancongan belia dan ekopelancongan.

Berdasarkan audit pada 31 Disember tahun lalu, 405 hotel bertaraf orkid (hotel bajet) sehingga lima bintang dibenarkan beroperasi seperti biasa dalam tempoh PKP 2.0.

Semua industri penghotelan masih beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua industri pelancongan yang berdepan risiko akibat penutupan operasi terpaksa akur demi memastikan arahan kerajaan dipatuhi dan bagi keselamatan dan kesihatan semua pihak.

Situasi agak sukar dalam tempoh dua minggu ini kepada industri namun demi melandaikan lekuk kes COVID-19, industri terpaksa akur.

Antara paling terjejas, dapat dilihat menerusi kunjungan orang ramai di Zoo Melaka susulan pembukaan tarikan baharu iaitu Dinosaur Encounter Park di lokasi pelancongan itu.

Melaka River Cruise dan Taman Mini Malaysia dan Budaya ASEAN pula menutup operasi sementara, katanya.

Sementara itu, pemilik Melaka After Dark Walking Tour, Shaukani Abbas berkata, pelaksanaan PKP 2.0 merencatkan perancangan pelan pemasarannya untuk tiga bulan pertama tahun ini.

Bagaimanapun katanya, gelombangan ketiga COVID-19 menyaksikan peningkatan mendadak dan beliau tiada pilihan selain akur dengan perintah itu.

Jadi, dalam tempoh PKP 2.0 ini, produk saya sama ada aktiviti secara maya mahupun lawatan secara fizikal ditangguhkan, katanya.

tamat



SUMBER : melakahariini.my



Live Website Traffic


loading...