EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Trump presiden ke-11 tewas untuk penggal kedua

0 month ago, 19-Nov-2020

Oleh Ahmad Abd Hamid

KEKALAHAN kepada Joe Biden dalam pilihan raya presiden 2020 menjadikan Donald Trump presiden ke-11 dalam sejarah Amerika gagal memenangi penggal kedua.

Menurut perlembagaan Amerika, seseorang tidak boleh menjadi presiden melebihi dua penggal. Tempuh setiap penggal ialah empat tahun.

Bagaimana pun tiada rangka waktu ditetapkan bagi tempuh dua penggal itu dan tidak semestinya berturut-turut. Presiden yang menang pilihan raya tetapi tewas untuk penggal kedua boleh bertanding lagi pada pilihan raya berikutnya atau beberapa tahun selepas itu.

Sejak institusi presiden diwujudkan pada 1789 dengan George Washington menjadi presiden pertama untuk dua penggal penuh, 10 orang presiden gagal meneruskan perkhidmatan untuk penggal kedua sebelum Trump.

Mereka ialah John Adams, John Quincy Adams, Martin Van Bureen, Groover Cleveland, Benjamin Harrison, William Howard Taft, Herbert Hoover, Gerald Ford, Jimmy Carter dan George HW Bush.

Memetik laporan Independent, antara tahun 1932 hingga 1976 kesemua presiden berjaya memenangi penggal kedua. Ertinya selama 44 tahun tidak ada presiden yang kecundang dalam mempertahankan jawatan.

Presiden terakhir sebelum Trump yang gagal menang penggal kedua ialah George HW Bush apabila tewas kepada Bill Clinton pada 1992. Selepas itu untuk tempuh 28 tahun kesemua presiden Clinton, Bush, Obama berjaya menang penggal kedua sehinggalah Trump tewas pada 2020.

Presiden pertama yang gagal memenangi penggal kedua ialah John Adams yang juga Naib Presiden kepada George Washington. Adams menang jawatan sebagai presiden ke-2 Amerika dalam pemilihan 1798 dan mengambil alih jawatan pada 1979 apabila Washington menamatkan perkhidmatan.

Dia bagaimanapun tewas dalam pilihan raya berikutnya pada 1802 dan Thomas Jefferson menang sebagai presiden ketiga.

Anak sulung kepada John Adams iaitu John Quincy Adams yang menjadi presiden ke-6 juga gagal menang pilihan raya bagi penggal kedua. Dia menerima nasib sama seperti bapanya berkhidmat hanya sepenggal.

Turut kecundang untuk penggal kedua ialah Martin Van Buren. Dia yang menang pilihan raya pada 1836 gagal dipilih semula pada 1840 .

Seorang lagi presiden yang tewas untuk penggal kedua ialah Groover Cleveland. Dia yang menang pada 1884 untuk menjadi presiden ke-22 tewas dalam persaingan sengit dengan calon Republikan, Benjamin Harrison pada 1888.

Namun Cleveland bangun kembali empat tahun kemudian. Pada1892 dia pula menewaskan Harrison untuk sekali lagi menjadi presiden sebagai presiden ke-24, menjadikan Harrison berkhidmat hanya satu penggal.

Dua puluh tahun kemudian pada 1912, Howard Taft daripada Parti Republikan juga gagal dipilih untuk penggal kedua. Dia dianggap sebagai presiden tidak menyerlah dan tidak menampakkan apa-apa kejayaan signifikan sewaktu pentadbirannya.

Dia menjadi presiden dari 1909 hingga 1913. Pada pilihan raya 1912 dia tewas kepada Woodrow Wilson.

Juga masuk dalam senarai gagal untuk penggal kedua ialah Herbert Hoover. Dia menjadi presiden pada 1928 dengan cabaran utama memulihkan Amerika yang terjejas teruk akibat keruntuhan pasaran saham 1929.

Pentadbirannya terus dibayangi oleh keruntuhan ekonomi dan dia berusaha keras memperbaikinya. Namun keadaan tidak banyak berubah sehingga menjelang pilihan raya presiden 1932. Akibatnya dia tewas kepada Franklin D Roosevelt.

Gerald Ford yang menjadi Naib Presiden kepada presiden ke-37, Richard Nixon, mengambil alih jawatan presiden apabila Nixon meletak jawatan akibat skandal Watergate pada 1974. Ford menjadi presiden dari 1974 hingga 1977.

Pada pilihan raya presiden tahun 1976, Ford bertanding tetapi tewas kepada calon Demokrat, Jimmy Carter yang menjadi presiden dari 1977 hingga 1981.

Namun Carter kemudian turut gagal dipilih untuk penggal kedua apabila tewas kepada calon Republikan, Ronald Reagan.

George HW Bush yang menjadi naib presiden kepada Reagan dari 1981 hingga 1989, menjadi presiden ke-41 apabila memenangi pilihan raya pada 1988. Namun bekas pengarah CIA itu juga gagal dipilih ke penggal kedua apabila tewas kepada Bill Clinton pada pemilihan 1992.

Namun pada pemilihan tahun 2000, anaknya George W Bush pula berjaya memenangi jawatan presiden dan berkhidmat dua penggal penuh sebelum digantikan oleh Barrack Obama.

Kini Trump menambah senarai kepada presiden yang gagal untuk penggal kedua. Adakah dia akan bangkit semula seperti Groover Cleveland?

-BebasNews

Please follow and like us:



SUMBER : bebasnews.my



Live Website Traffic


loading...