EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Terkilan tidak sempat bawa Sopi...

2 month ago, 09-Oct-2019

GADAI beg tangan kesayangan demi membiayai rawatan seekor kucing, itu yang cuba dilakukan seorang wanita dalam usaha menyelamatkan nyawa si bulus selepas ditemui dalam longkang di pekan Durian Tunggal, Melaka semalam.

Namun, apa yang membuatkan Yuslini Mohd Yusof, 27, terkilan kerana dia gagal membawa anak kucing berusia dua bulan terbabit yang diberi nama Sopi itu untuk mendapatkan rawatan apabila mati juga hari ini.

Suri rumah itu berkata, dia menemui Sopi dalam longkang ketika singgah di sebuah kedai makan di pekan itu bersama anak perempuannya kira-kira 2 petang.

"Sopi seperti dilanggar atau dipijak apabila pinggang seolah-olah patah. Saya tidak sampai hati meninggalkannya di situ dan membawanya pulang ke rumah.

"Saya sempat membeli botol, susu dan air glukos serta membawanya pulang ke rumah," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, perbelanjaannya pada bulan ini agak terhad tetapi demi membawa Sopi ke klinik haiwan menyebabkannya memikirkan untuk menjual beg tangan kesayangannya dengan harga RM300.

"Saya tidak tahu kos rawatan Sopi dan hanya dengan menjual beg tangan ini dilihat sebagai jalan penyelesaian.

"Bagaimanapun, ketika memuat naik ke komuniti kucing, ramai antara pencinta kucing yang meminta nombor akaun saya dan nasihat supaya tidak menjual beg tangan," katanya.

Menurutnya, tidak sempat membawa ke klinik haiwan apabila Sopi mati pada 8 pagi.

"Walaupun tidak lama menjaga Sopi tetapi sudah sayang kepadanya dan disebabkan ini saya sanggup bergadai barang kesayangan demi anak bulus itu.

"Walaupun agak terkilan tetapi saya sudah usahakan yang terbaik termasuk memantau dan memberi susu kepadanya setiap dua jam sekali, ia menjadi kenangan terindah dapat menjaga Sopi," katanya.


SUMBER : hmetro.com.my

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...