EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Terkilan gagal selamatkan anak saudara

0 month ago, 14-Jul-2019

SAYA cuba menyelamatkan mereka. Saya dah masuk ikut pintu belakang rumah, tapi api terlalu marak.

Pada awalnya jeritan mereka kuat kedengaran, namun makin lama makin perlahan sehingga tiada lagi suara mereka, kata Khamijas Ngainan, bapa saudara kepada dua beradik yang meninggal dunia dalam kebakaran di rumah di Jalan Utama, Kampung Endah, Kuala Langat, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, mangsa, Nur Salsabila Mohd Fakrul Khair, 15, dan Nur Ain Sumayyah, 13, tinggal berdua di dalam rumah terbabit sementara ibu bapanya keluar kerana menyediakan makanan untuk anggota bomba memadamkan kebakaran kilang kimia di Pelabuhan Klang malam tadi.

Khamijas berkata, dia yang tinggal berhadapan dengan kediaman sewa adiknya, Serihayati Ngainan, 48, melihat api sudah mula marak dan berlari untuk menyelamatkan nyawa dua anak saudaranya.

Masa kejadian, saya dan isteri baru pulang dari berniaga di restoran kami di Kancong Darat dan sebaik tiba di rumah tiada apa yang berlaku.

Namun apabila saya masuk saja dalam rumah, saya terlihat api sudah menjulang tinggi, saya dan isteri berlari ke rumah adik, katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia terkilan kerana tidak dapat membantu kedua-dua anak saudaranya yang sudah dianggap seperti anak sendiri.

Mereka biasa tinggal di rumah itu kerana ibu bapa mereka berniaga makanan di Hentian Rehat dan Rawat Pulau Indah.

Kebetulan mereka dapat tempahan menyediakan makanan untuk bomba bertugas memadamkan kebakaran di kilang kimia di Pulau Indah, katanya.

Sementara itu, Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor Nur berkata, mayat pelajar tingkatan tiga dan satu itu terperangkap di dalam bilik tidur mereka ketika api sudah marak.

Hafisham berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran pada jam 2.48 pagi dan dua jentera bomba masing-masing sebuah dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dan KLIA bersama 17 anggota bergegas ke tempat kejadian dan tiba 15 minit kemudian.

Ketika sampai api sedang marak dan pasukan berjaya mengawal kebakaran dua minit kemudian. Api dipadamkan sepenuhnya selepas 10 minit, katanya.

Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan dan mayat dua adik beradik itu dihantar ke Hospital Banting untuk proses bedah siasat.

Berita berkaitan

Dua beradik maut kebakaran


SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic





www.edisiviral.com