EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Terkejut cara luar biasa Malaysia tangani krisis COVID-19, pelancong Amerika Syarikat ini berharap negaranya mencontohi sikap kita

0 month ago, 25-Mar-2020

Ketika seluruh dunia berdepan pandemik COVID-19, kita dapat melihat perbezaan bagaimana sesebuah negara itu menangani situasi dengan cara yang berbeza.

Banyak bandar dengan kes jangkitan paling buruk dan kritikal berdepan dengan perintah berkurung yang amat ketat sehingga rakyatnya tidak dibenarkan meninggalkan rumah atau bertemu khalayak ramai sementara terdapat sesetengah tempat lain yang kurang proaktif dalam mengawal keadaan.

Di mana Malaysia berada pada tahap ini? Seorang warga Amerika Syarikat memberitahu jawapannya tentang bagaimana Malaysia menangani krisis pandemik global COVID-19 secara luar biasa dan amat berbeza berbanding Amerika Syarikat, sebuah negara maju.

Twitter/ Gambar Hiasan

Melalui mesej panjang lebar di laman Twitter, seorang doktor perubatan warganegara Amerika Syarikat, Jason Hassenstab menceritakan pengalamannya semasa melancong ke Malaysia dan menyifatkannya sebagai "lawatan luar biasa, tetapi tidak tepat pada masanya".

Selepas pulang ke Amerika Syarikat pada 23 Mac, Jason berkata, dia tidak dapat mengelak untuk menyatakan kekagumannya dengan beberapa perbezaan antara Malaysia dan Amerika Syarikat ketika berhadapan krisis COVID-19.

Jason dan keluarganya telah melawat empat bandar di Malaysia termasuk Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Sandakan dan berkata dia menyedari betapa penguatkuasaan kerajaan jelas di mana-mana berbanding dengan Amerika Syarikat.

"Saya tidak menganggap Malaysia sebagai negara dunia pertama dan maju memandangkan tahap kemiskinan yang kami lihat ada kebenarannya," kata Jason.

Twitter/ Gambar Hiasan

Dengan rasa kagum Jason menulis, "Bagaimanapun, penguatkuasaan COVID-19 Malaysia jelas kelihatan di mana-mana, walaupun ke dalam hutan yang jauh di pedalaman di mana kami tinggal."

"Kenderaan penguat kuasa meronda dengan menghantar mesej tentang penjarakan sosial setiap hari. Mesej di telefon saya di sini yang biasanya mengatakan Sprint sebaliknya kini ditukar "Duduk Rumah".

Jason kemudian mengimbas kembali keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di mana pengawal keselamatan menekankan setiap orang perlu menjaga jarak sementara sepanduk dengan bimbingan visual dan perkataan mudah difahami diletakkan di mana-mana oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Tempat duduk di lapangan terbang juga diletakkan pita pelekat dan nota peringatan supaya terdapat jarak kerusi kosong antara setiap orang yang terdedah, katanya.

@neuroplebeian/Twitter

Jason juga menyedari bahawa gel pembersih tangan disediakan di mana-mana dengan banyak, terutamanya di lapangan terbang.

"Semua pekerja lapangan terbang memakai topeng muka, dan dibekalkan dengan pembersih tangan hampir di setiap kaunter, daftar tunai, di stesen layan diri dan di mana sahaja," katanya.

Kerajaan mereka mempunyai mesej yang sama sekali konsisten: Duduk di rumah, menjaga jarak anda, selalu bersihkan tangan anda. DAN SELURUH NEGARA PATUH UNTUK MELAKUKANNYA, tulisnya dengan rasa kagum.

Jason kemudian menyentuh perbezaan antara Malaysia dan lapangan terbang tersibuk di dunia iaitu di Atlanta dengan mengatakan hanya kira-kira 5% daripada kakitangan kawalan dan barisan hadapan memakai topeng mulut dan hidung juga sarung tangan di Lapangan Terbang Atlanta.

Gel pembersih tangan adalah terhad kecuali di beberapa tandas dan bilik air atau kedai manakala kedai-kedai dibuka untuk perniagaan seperti biasa, dan ramai orang bersesak serta tidak menjarakkan diri antara satu sama lain dengan tiada penguatkuasaan jarak dilaksanakan.

@neuroplebeian/Twitter

"Orang ramai memandang kami dengan pelik dan menggelengkan kepala kerana kami memakai topeng muka. Dan sebelum ini, anda memberitahu saya memakai topeng muka itu bukanlah berkesan, tetapi kami melakukannya untuk melindungi orang lain sekiranya kami dijangkiti dan ia juga untuk menghalang kami daripada menyentuh wajah terlalu kerap, kata Jason.

Jason kemudian mengimbas kembali apabila bertemu seorang penumpang dalam pesawat dari Tokyo ke Amerika Syarikat.

"Kami terbang dari Tokyo, dan penumpang yang jauh jarak tiga kerusi daripada saya ada gejala aktif demam, muntah, dan sakit badan, dan dia hanya memakai topeng muka selepas memanggil bantuan perubatan setelah melalui separuh penerbangan," katanya.

"Para paramedik datang dengan kakitangan CDC di pintu masuk dan merawat dia. Tetapi penumpang selebihnya hanya melalui kastam dan imigresen seperti tiada apa yang berlaku.

"Margaret dan saya serta anak-anak lelaki kami menjalani saringan demam kerana kami dilaporkan datang dari Malaysia dan Singapura, tetapi itu sahaja, tulisnya.

Jason menyedari bahawa di Lapangan Terbang Atlanta, 99% penumpang penerbangan antarabangsa berasal dari Tokyo, United Kingdom dan negara-negara Eropah lain dibenarkan masuk tanpa melalui sebarang pemeriksaan imbasan kesihatan lanjut atau apa-apa langkah perlindungan.

Mereka semua terpaksa meneruskan mematuhi peraturan biasa untuk menyentuh pengimbas cap jari yang tidak dibersihkan dengan kerap.

Jason kemudian mengakhiri Twitter itu dengan peringatan bahawa wabak COVID-19 tidak boleh dipandang ringan dengan mengatakan bahawa Amerika Syarikat perlu mengambil contoh tindak balas menanganinya di seluruh negara selepas negara-negara lain menguatkuasakan perintah tegas seperti di Malaysia.

Twitter/ Gambar Hiasan

"Secara peribadi saya mengenali lima orang yang dijangkiti, tiga daripadanya adalah doktor," terangnya.

"Ini bukan gurauan atau penipuan, orang ramai akan mati pada skala besar kecuali langkah-langkah tegas dan ketat perlu diambil. Ini adalah hujah terbaik untuk sistem kesihatan awam yang kuat dan tindak balas kerajaan persekutuan yang kuat, tulis Jason.

"Kami memerlukan mesej yang jelas dan konsisten untuk benar-benar memainkan peranan, dan bersuara menyatakan tentang tindakan kepimpinan negara bahawa kami perlu bermodelkan tindak balas ke atas seluruh negara seperti dilakukan Malaysia. Saya berharap semua orang mengingati perkara ini pada bulan November, tegas Jason.

Twitter/ Gambar Hiasan

Kita sebagai warga tempatan berbesar hati dan bangga apabila mendengar warga negara lain memuji usaha Malaysia dalam membanteras pandemik COVID-19 dengan langkah tegas yang perlu dipatuhi, tetapi krisis ini belum berakhir untuk kita berasa lega.

Semakin baik sikap kita mematuhi arahan pihak berkuasa semasa Perintah Kawalan Pergerakan yang telah dilanjutkan selama tempoh 14 hari lagi, maka mungkin akan lebih cepat kita menemui jalan penyelesaian dalam masa yang sukar ini. Sama-sama kita doakan negara tercinta ini akan pulih sepenuhnya seperti sedia kala.

Terkejut cara luar biasa Malaysia tangani krisis COVID-19, pelancong Amerika Syarikat ini berharap negaranya mencontohi sikap kita Era Baru Malaysia.


SUMBER : erabaru.com.my

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...