EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Drop Shot: Terharu diberi penghormatan

0 month ago, 27-Jun-2020

Minggu lalu atau lebih tepat 23 Jun, adalah hari yang cukup istimewa kerana ia adalah Hari Olimpik bagi meraikan barisan Olimpian di seluruh dunia.

Sebagai salah seorang daripada mereka, sudah tentu saya berasa amat bangga kerana berada setaraf dengan barisan atlet terbaik dunia yang pernah beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu.

Banyak peristiwa di Sukan Olimpik yang tidak dapat saya lupakan terutamanya ketika beraksi pada edisi 1992 di Barcelona yang juga kali pertama badminton dipertandingkan di temasya itu.

Ketika itu, kali pertama juga kontinjen negara meraih pingat menerusi gandingan saya serta Datuk Razif Sidek. Walaupun sekadar kilauan gangsa, namun ia cukup bermakna kepada kami berdua dan sudah tentunya kepada Malaysia.

Itu adalah penampilan Olimpik pertama dan terakhir untuk saya serta Razif. Walaupun sudah bersara, edisi 1996 di Atlanta turut memberi memberi kenangan menarik kepada saya.

Ketika mahu menyaksikan perlawanan membabitkan adik kami, Rashid menentang Heryanto Arbi untuk penentuan gangsa, seorang penyokong Malaysia terkejut kerana saya, (Datuk) Misbun dan Rahman bersama-sama beratur membeli tiket.

Mereka kemudian memberitahu orang di depan saya bahawa saya adalah pemenang pingat pertama untuk Malaysia di Olimpik. Pantas saya diberi laluan terus untuk membeli tiket tanpa perlu beratur panjang.

Begitu hebatnya penghormatan yang mereka berikan kepada saya. Walaupun bukan meraih emas, mereka tetap mengiktiraf saya sebagai wira negara dan saya cukup terharu ketika itu.

Dua kejayaan besar di Atlanta adalah melihat Rashid meraih gangsa manakala Razif yang menjadi jurulatih kepada beregu Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock, berjaya membantu pasangan itu meraih pingat perak sekali gus kilauan perak pertama untuk negara.

Pengorbanan atlet di Olimpik cukup besar kerana hanya mereka yang luar biasa sahaja mampu beraksi di temasya itu. Maka apabila mereka sudah bersara, saya berharap mereka diberi pengiktirafan sewajarnya. Jumpa lagi.


SUMBER : hmetro.com.my

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...