EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Terengganu Raih Pelaburan RM3.59 Bilion

0 month ago, 28-Nov-2019

Datuk Tengku Hassan Tengku Omar.

KUALA TERENGGANU Terengganu berjaya meraih pelaburan bernilai RM3.59 bilion sepanjang tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar.

Beliau berkata pelaburan tersebut disumbangkan oleh 21 sektor, terutama industri dalam sektor pembuatan.

Dalam sektor pembuatan sahaja, terdapat 12 syarikat yang telah beroperasi di Terengganu, diikuti sektor pelancongan, pertanian dan perkhidmatan.

Tahun depan di Wakaf Tapai, kita sediakan 10 lot (tapak perindustrian) untuk industri berasaskan kayu-kayan. Ada syarikat yang telah berjanji untuk melabur dalam industri ini, katanya dalam sesi penggulungan perbahasan Belanjawan Terengganu 2020 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini.

Beliau berkata kehadiran pelabur di negeri ini telah membuka 18,853 peluang pekerjaan kepada anak tempatan sejak Januari 2018 hingga Oktober tahun ini.

Pada 2018, sebanyak 9,147 peluang pekerjaan disediakan, dan sehingga Oktober tahun ini, sejumlah 9,706 peluang pekerjaan ditawarkan, katanya.

Berdasarkan jumlah tersebut, hasrat kerajaan negeri untuk menyediakan 20,000 peluang pekerjaan dalam tempoh empat tahun seperti yang terkandung dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14), telah 94.3 peratus tercapai.

Hanafiah Mat

Manifesto kita ini hampir tercapai. Ada baki 1,147 lagi peluang pekerjaan yang akan kita cari. Kita tidak akan berhenti dan akan terus mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak Terengganu semaksimum mungkin, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat pula berkata persediaan bantuan banjir kali ini berjalan lancar.

Jumlah peruntukan yang disediakan oleh kerajaan negeri untuk menghadapi banjir tahun ini sebanyak RM1 juta manakala peruntukan dari Kerajaan Pusat pula sebanyak RM413,500.

Sejumlah 1,062 tenaga kerja yang terdiri daripada kakitangan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), sukarelawan psikologi dan kakitangan JPNT (Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu), LPPKN (Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara) dan Jabatan Kesihatan yang mempunyai kelulusan ijazah psikologi, terlibat, katanya.

Ariffin Deraman

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata hanya 51 daripada 362 pegawai eksekutif maklumat (EIO) dan pegawai sokongan teknikal (TSO) ditamatkan kontrak setakat ini.

Bakinya 311 orang masih bertugas di jabatan-jabatan kerajaan dan sekolah sekitar Terengganu.

Kakitangan EIO dan TSO yang diselia di bawah Unit Pengurusan Maklumat Negeri ini mula berkhidmat dalam projek kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) itu berkhidmat untuk bestari.com dan aplikasi pintar e-Book untuk murid sekolah rendah pada 2009.

Namun selepas program itu ditamatkan pada 2015, mereka diserap ke jabatan lain Hasil kajian mendapati 51 orang tidak lagi terlibat dengan kerja berkaitan teknologi maklumat manakala yang 311 kekal bekerja itu akan diberi kursus kemahiran dari semasa ke semasa, katanya.- BERNAMA




Live Website Traffic


loading...