EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Dron terbang guna 4g [METROTV]

0 month ago, 13-Oct-2019

KUALA LUMPUR: Pesawat tanpa pemandu (UAV) atau dron berada di Shah Alam, Selangor, Malaysia, tetapi pengendalinya berada 10,000 kilometer di London, United Kingdom (UK).

Itulah perkembangan terbaru teknologi aeroangkasa tempatan hasil percambahan fikiran dan kegeniusan, sekumpulan jurutera di Pusat Ujian dan Teknologi Penerbangan (FTTC), Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Pengarah FTTC, Dr Rizal Effendy Mohd Nasir berkata, dron berkenaan terbang menggunakan sistem komputer penerbangan FALCO-X1 dibangunkan pihaknya.

Dr Rizal Effendy berkata, berbeza dengan teknologi konvensional ketika ini yang menggunakan frekuensi radio, dron dibangunkan memanfaatkan sepenuhnya teknologi Internet 4G.

Kawalan dron menggunakan frekuensi radio banyak kekurangan, jarak pula lima hingga enam kilometer saja, risiko dron terhempas akibat terputus hubungan dengan pengendali di bumi juga tinggi.

Menggunakan teknologi ini dron boleh terbang selagi ada liputan Internet, itu tidak menjadi masalah kerana boleh kata hampir seluruh pelosok negara memiliki capaian kepada kemudahan Internet.

ANTARA dron di makmal penerbangan UiTM Shah Alam.

Kawalan dron pula boleh dilakukan secara manual menggunakan telefon pintar seperti bermain permainan video, joy stick dan komputer, katanya ketika ditemui.

Menurutnya, sistem dibangunkan berfungsi menggunakan capaian Internet daripada gajet elektronik, proses menghantar arahan dan isyarat pula dilaksanakan dalam bentuk awanan (cloud).

Selagi alamat IP (Protokol Internet) antara pengendali di bumi dan sistem penerima dipasang pada dron berkomunikasi (berhubung) pesawat itu akan terus terbang.

Ketika ujian sebelum ini dron berkenaan terbang di Shah Alam, namun pengendalinya berada di Kota Bharu, Kelantan atau hampir 500 kilometer dari tapak dron ini dilancarkan.

Dron kami bangunkan ini mampu terbang selama 30 minit pada ketinggian 400 kaki (121 meter), namun keupayaan itu boleh ditingkatkan mengikut keperluan, katanya.

Beliau berkata, pembuatan dron berkenaan juga mengikut perkembangan teknologi terkini iaitu menggunakan pencetak tiga dimensi (3D-Printer) yang lebih cepat dan tepat.

Kami juga ada kemudahan sokongan untuk ujian lain seperti terowong angin yang sangat penting bagi mendapatkan data seperti daya seret, daya angkat dan bentuk aerodinamik pesawat mahu dibangunkan, katanya.

DR Rizal Effendy (dua dari kanan) menerangkan penggunaan dron kepada pelajarnya di makmal penerbangan UiTM Shah Alam.

Tugas kami seperti juruterbang pesawat komersial

KUALA lUMPUR: Terbangkan dron yang tidak ada depan mata rasa macam bermain permainan video realiti maya atau virtual reality (VR). Tugas kami sama seperti juruterbang pesawat komersial.

Saya akan berpandukan kepada paparan pada skrin bagi memastikan dron terbang dan melakukan misi ditetapkan dengan lancar, kata Shahrean Zainurin, 38.

Juruterbang dron berpengalaman ini mengendalikan pesawat tanpa pemandu (UAV) berada di Shah Alam, Selangor dari London, United Kingdom (UK).

Shahrean berkata, seperti pesawat lain sebelum meluncur di udara kru di Shah Alam akan melakukan pemeriksaan pra penerbangan dengan memeriksa kipas utama, bateri dan komponen mekanikal lain pada dron berada dalam keadaan baik.

Selain itu katanya, dia akan meneliti pelan penerbangan membabitkan laluan dan misi dron berkenaan dilancarkan.

Pada monitor komputer akan ada laluan penerbangan yang akan menjadi panduan saya sepanjang dron berada di udara. Ketika di udara saya boleh kawal dron secara manual atau tetapkan laluan penerbangan.

Ketika mahu mendarat pula saya lebih selesa melakukannya secara manual meskipun boleh ditetapkan menggunakan komputer.

Jadi dengan teknologi terkini yang ada sekarang bukan masalah besar untuk terbangkan dron yang tidak ada depan mata kita, katanya.

SHAHREAN kendali pesawat tanpa pemandu (UAV) di Shah Alam, dari London.

Jurutera kanan simulasi penerbangan di sebuah syarikat di UK ini berkata, apa dilakukan bertujuan untuk mengembangkan lagi teknologi dron.

Lebih banyak pekerjaan bakal diwujudkan jika industri ini semakin berkembang dan harap pihak berkenaan memberi peluang kepada kami untuk terus ke depan, katanya.


SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic


loading...