EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Tentera maut, pesawat Snowbirds terhempas

0 month ago, 18-May-2020

Toronto: Ahli pasukan aerobatik tentera udara elit Kanada, Snowbirds maut, manakala seorang lagi cedera apabila pesawat mereka terhempas di Kanada Barat, pagi semalam.

Kejadian berlaku sejurus pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Kamloops untuk melakukan persembahan bagi menghargai orang ramai menangani wabak Covid-19.

Menurut media tempatan, pesawat Snowbirds itu terhempas di hadapan sebuah rumah di British Columbia.

"Kami dengan berat hati memaklumkan, seorang ahli pasukan CF Snowbirds meninggal, dan seorang lagi parah," ciap Pasukan Tentera Udara Diraja Kanada (RCAF) malam tadi.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Kapten Jenn Casey, yang juga Pegawai Hal Ehwal Awam, Tentera Udara.

"Kami amat sedih dan bersimpati dengan keluarga dan rakan-rakan Jenn. Kami juga berharap Kapten McDougall kembali pulih dari kecederaan dialami," kata RCAF.

Menurut saksi, juruterbang sempat melantunkan diri dari pesawat dengan payung terjun sebelum terhempas, dan mendarat di atas bumbung sebuah rumah.

Dalam video yang dikongsi orang awam, bangkai pesawat yang sedang terbakar dapat dilihat di hadapan sebuah rumah dan penduduk berkumpul untuk mengetahui lanjut kejadian itu.

Gambar lokasi kejadian juga menunjukkan serpihan pesawat yang terbakar di hadapan bangunan, yang mana ada sebahagiannya masih terbakar.

"Tiada bunyi langsung, dan ia sangat pelik. Pesawat hanya berpusing beberapa kali dan terjatuh. Ia melambung kemudian terus jatuh disertai asap hitam," kata saksi Annette Schonewille kepada Radio Kanada.

Laporan CBC yang memetik seorang saksi, Nolyn Mcleod berkata, pesawat itu melintasi kira-kira tiga meter dari bumbung rumahnya.

"Kami melihat juruterbang melantunkan diri keluar mungkin setinggi kira-kira dua tingkat.

"Pesawat tanpa juruterbang itu kemudian terhempas antara rumah jiran dan saya, sebelum menghentam tingkap bilik tidur jiran," katanya.

"Suasana memang kelam kabut, dengan orang ramai menjerit. Kami ingatkan kawasan ini dibom atau dilanda sesuatu," katanya.

Pesawat itu dijadualkan terbang melintasi British Columbia sebagai sebahagian daripada program 'Operasi Inspirasi' dilancarkan awal bulan ini bagi menghargai rakyat yang berusaha menentang pandemik Covid-19.


SUMBER : hmetro.com.my

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...