EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

TEMPOH GANGGUAN BEKALAN AIR IKUT LOKASI, TEKANAN AIR

0 month ago, 13-Oct-2021

SHAH ALAM: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) telah dimulakan pada jam 9:00 pagi hari ini mengikut jadual seperti yang telah diumumkan pada 1 Oktober 2021.

Ketua Komunikasi Korporat Elina Baseri berkata, kerja-kerja penyenggaraan aset utama ini dijangka akan siap pada jam 11:00 malam, 13 Oktober 2021.

Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada para pengguna bermula jam 5:00 petang, 14 Oktober 2021 setelah sistem bekalan air telah distabilkan.

Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air. Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9:00 malam, 16 Oktober 2021, katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya Air Selangor akan menyediakan bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki ke premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta untuk upacara pengebumian.

Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300. Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang http://www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Sebelum ini media melaporkan penduduk di 998 kawasan sekitar Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air bermula 13 Oktober.

Gangguan itu membabitkan daerah antaranya Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor. AlHijrah Online



SUMBER : alhijrahnews.com



Live Website Traffic


loading...