EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Telefon Sony lebih besar dan bergemerlapan muncul

26 month ago, 26-May-2017

Kini selesailah empat model telefon pintar terbaru Sony tiba di Malaysia. Bulan Mac lepas Sony melancarkan XZs dan XA1, kini tiba pula XZ Premium dan XA1 Ultra. Kesemua empat telefon pintar ini pertama kali diperkenalkan di pameran MWC 2017 di Barcelona.

Tempahan XZ Premium (RM3,399) dan XA1 Ultra (RM1,899) kini telah dibuka, dari 25 Mei hingga 7 Jun 2017. Tempahan boleh dibuat di Sony Stores, Sony Mobile Stores, Sony Centres, dan pengedar bertauliah. Ia juga boleh ditempah di laman e-dagang 11street, di pautan XZ Premium dan XA1 Ultra.

Hadiah percuma berupa fon kepala Bluetooth SBH80, kad Touch n Go berisi RM100, waranti Screen Care+ serta casing lutsinar dan pelindung skrin tempered glass diberikan untuk tempahan awal XZ Premium. Manakala penempah XA1 Ultra pula menerima casing lutsinar, pelindung skrin tempered glass dan pengecas pantas UCH12W.

XZ Premium akan dijual dengan pilihan warna Krom dan Hitam buat masa ini, dengan warna Merah Jambu akan dibawa masuk kemudian. Manakala XA1 Ultra mempunyai 4 pilihan warna iaitu Putih, Hitam, Emas dan Merah Jambu.

XZ Premium

XZ Premium adalah telefon pintar terhebat Sony masakini. Ia memiliki kuasa terhebat Qualcomm Snapdragon 835. Bersama itu disertakan 4GB RAM dan 64GB storan dalaman. Kad mikroSD turut diterima, tetapi berkongsi tempat dengan kad sim. XZ Premium memilikibadan besi yang licin di belakang, umpama sebuah cermin yang bagus untuk selfie.

Kehebatannya Xperia XZ Premium paling menyerlah pada skrinnya. Ia memiliki paparan HDR 4K 5.5-inci yang sama seperti di TV Sony Bravia, pertama seumpamanya di telefon pintar. Malah, ia dilengkapi enjin paparan TRILUMINOS dan X-Reality untuk peranti mudah alih. Buat masa ini, kandungan HDR 4K boleh ditonton menerusi Amazon Prime Video.

Sony juga berbangga dengan kemampuan muat turun LTE Xperia XZ Premium yang boleh mencecah 1Gbps, terima kasih kepada modem Snapdragon X16 LTE yang terbina di dalam. Tetapi masih sukar menemui syarikat telekomunikasi yang menyediakan kelajuan sebegini, mungkin masih tiada di Malaysia.

Paling mengagumkan adalah kemampuan kamera XZ Premium yang mampu merakam video gerak perlahan sehingga 960 bingkai sesaat (fps). Dikenali sebagai Motion Eye, ia turut terdapat pada telefon pintar Xperia XZs yang telah dijual lebih awal.

Tangkapan gambar juga pasti memuaskan dengan sensor Exmor RS 19MP di belakang. Lensa G F2.0 padanya mempunyai kelebaran 25mm. Saiz iksel pula sebesar 1.22 mikron, dengan teknologi autofokus hibrid prediktif. Kestabilan tangkapan dibantu oleh teknologi penstabil 5-paksi SteadyShot dengan Mod Intelligent Active.

Kamera hadapan juga memiliki kestabilan yang sama, dengan sensor Exmor RS 13MP F2.0, dan lensa lebar 22mm. Sistem bunyi XZ Premium juga mengagumkan, dengan pembesar suara stereo di hadapan yang menyokong audio beresolusi tinggi (Hi-Res Audio).

XA1 Ultra

XA1 Ultra adalah versi XA1 dengan skrin lebih besar. Ia menampilkan skrin hujung-ke-hujung sisi, tanpa bezel. Skrinnya sangat besar, berukuran 6.0-inci dengan resolusi HD Penuh.

Walaupun berbadan besar, bateri XA1 Ultra hanyalah 2,700mAh sahaja. Tetapi ia menyokong pengecasan pantas MediaTek Pump Express Plus 2.0, menerusi cip pemproses Helio P20 8-teras. RAM 4GB dengan storan dalaman 64GB turut dimuatkan ke dalamnya.

Kamera belakang XA1 Ultra mengguna pakai sensor Exmor RS 23MP F2.o, dibantu autofokus hibrid dan penstabil imej SteadyShot. Tetapi kehebatan XA1 Ultra diserlahkan pada kamera hadapannya.

Ini kerana kamera hadapannya dilengkapi sensor Exmor R 16MP F2.0, bersama penstabil imej optikal (IOS) dan Flash Selfie Pintar. Ia bukan sahaja memastikan swafoto sentiasa cerah, tetapi lebih tajam.

Maklumat lanjut tentang kedua-dua telefon pintar yang baru ini boleh dirujuk di laman produk Sony Xperia XZ Premium dan XA1 Ultra.

Telefon Sony lebih besar dan bergemerlapan muncul TheSkop.


SUMBER : theskop.com



Live Website Traffic





www.edisiviral.com