EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Tanjong Piai kekal PH atau kembali BN?

0 month ago, 10-Nov-2019

oleh: Mohd Shuhaimi A-Maniri

KEMPEN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P. 165 Tanjung Piai yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung sudah lebih seminggu bermula. Penamaan calon diadakan pada 2hb Novmber, 2019 lepas dan pengundian pula akan diadakan pada 16hb November, 2019.

PRK Tanjung Piai ini adalah pilihan raya yang kesembilan diadakan sejak PH memenangi PRU-14 pada Mei tahun lalu. Dalam rencana Tanjong Piai bakal cipta sejarah politik baharu? sebelum ini, Allahyarham Md Farid (Bersatu) memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi pada PRU-14 pada 9 Mei tahun lepas dalam pertandingan tiga penjuru dengan BN (MCA) dan PAS.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), GERAKAN, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan dua calon Bebas..

Calon yang bertanding adalah ; calon PH, Karmaine Sardini, calon BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng, calon GERAKAN, Wendy Subramaniam; calon BERJASA, Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lok dan Faridah Aryani Abdul Ghafar.

Saingan 6 penjuru: Mudarat bagi BN dan PH

PH dan BN tidak diberikan laluan mudah untuk ditentang satu lawan satu dalam PRK Tanjong Piai ini. Sebaliknya ianya merupakan saingan 6 penjuru. Pengundi disogok dengan isu dalaman dan akan ada undi protes terhadap BN dan PH. Parti Gerakan dan Berjasa kurang dikenali dan berpengaruh di Tanjung Piai tetapi mampu mencuri sebahagian undi protes.

Daripada 6 calon bertanding tumpuan untuk memenangi PRK ini dilihat lebih kepada calon BN dan PH atas faktor jentera yang lebih besar, lebih banyak pengikut dan ahli serta mekanisme sistem parti yang lebih berpengalaman dan efisien dari parti-parti lain yang bertanding. Kehadiran parti lain (gerakan dan Berjasa) dan calon bebas lebih bersifat meraikan kesuburan demokrasi dan pengaruh mereka akan terbatas dan mekanisme mereka pun kurang.

BN kini hanya tinggal tiga sahaja parti pengasasnya yang bermula sebagai Perikatan UMNO-MCA-MIC sebelum membentuk Barisan Nasional pada tahun 1974 yang turut disertai oleh PAS dan lain-lain parti politik.

Dengan termeterainya Piagam Muafakat Nasional antara UMNO dan PAS pada 14hb September, 2019 lepas, sekali lagi sejarah politik Negara tercipta satu gabongan untuk menghadapi PRU ke-15 nanti dengan pilihanraya kecil ini sebagai ujian pertama kepada permuafakatan tersebut.

Tanpa diduga Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional sepakat mencalonkan Wee Jeck Seng daripada MCA biarpun UMNO dilihat sangat berpotensi untuk memang dan selesa untuk berhadapan dengan pengundi di kawasan Parlimen Tanjong Piai yang majoriti Melayu itu.

Umno dan Pas yang memngasaskan Muafakat Nasional perlu bekerja keras membuktikan bahawa model politik yang dibawa ini sesuai untuk diberikan satu pertimbangan baru bagi menggantikan kerjasama Pakatan Harapan (PH) yang semakin buntu dan bercelaru serta menuju kegagalan.

Ujian pertama Muafakat Nasional yang membawa bersama Barisan Nasional dan Gagasan Sejahtera sedikit tercalar bila parti BERJASA anggota Gagasan Sejahtera pada PRU ke-14 yang diterajui PAS turut meletakkan calon bila BN tidak meletakkan calon Umno, sebaliknya calon MCA bertanding dikerusi majoriti Melayu .

BERJASA kali ini meletakkan Presidennya, Dr Badrulhisham Abdul Aziz bertanding dalam PRK ini atas logo sendiri. Pada PRU ke-14 lepas, calon BERJASA bertanding atas tiket PAS di Tanjong Piai. Walaubagaimanapun pada PRK kali ini PAS menegaskan dan mengarahkan ahli dan penyokong PAS mengundi calon dari BN (MCA) seperti yang telah direstui Muafakat Nasional.

Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang menegaskan, sungguhpun keindukan politik Melayu-Islam merupakan suatu prasyarat kepada kestabilan politik negara dan kemakmuran ekonomi, namun penyertaan bukan Islam (ie MCA dan MIC) juga adalah satu keperluan kepada Muafakat Nasional dalam negara yang majmuk dan berbilang kaum dan agama seperti Malaysia ini.

Rakyat perlu disedarkan betapa perlunya Malaysia kembali kepada acuannya yang asal berteraskan keindukan dan bercirikan Malaysia. Menjadi tugas BN dan Muafakat Nasional di Tanjung Piai untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap BN dan mempamerkan keinklusifan Muafakat Nasional yang tidak hanya tertumpu kepada satu kaum sahaja.

Jika BN dapat menyakin pengundi di sini, calon BN dari MCA, Wee Jeck Seng yang mewakili BN dijangka mendapat sokongan pada PRK kali ini lebih lagi status pernah menjadi wakil rakyat di Tanjung Piai, dua penggal (2008-2018)sebagai ahli Parlimen tanjong Piai sebelum ini.

Sekarang kita lihat disebelah PH pula. Penyokong PH ditemui bersemangat dan mempunyai keyakinan calon mereka boleh mempertahankan kerusi Tanjung Piai. Calon PH, Karmaine Sardini dari Bersatu dikatakan turut mempunyai peluang apabila dilihat dibantu jentera PH yang ramai dan mendapat sokongan daripada pimpinan PH.

PH pada PRU ke-14 yang lepas mengemukakan model politik gamble yang canggung dengan menjanjikan pelbagai perkara yang lunak didengar bagi menekan kerajaan yang memerintah ketika itu dengan pelbagai bajet alternatif jija mereka diberikan peluang memerintah sehingga hari ni telah menyebabkan berlakunya pelbagai masalah bila tidak mampu ditunaikan kerajaan PH yang diberikan mandat pada PRU ke-14.

Apa sebenarnya masalah PH? Kenapakah ini semua berlaku? Kegagalan yang nyata bagi PH adalah mereka tidak mempunyai acuan yang kukuh dan ampuh kepada pembinaan model politik baharu yang mereka cadangkan. Adakah ini semua nak dilonggokkan kepada kerajaan terdahulu atau kerana ketidakmampuan mereka sendiri dalam mengurus tadbir negara?

Lebih penting, kita mengandaikan bahawa sokongan masyarakat bukan Melayu-Muslim, khususnya Cina terhadap Pakatan Harapan (atau lebih tepat, penolakan Cina terhadap Umno-PAS) sebagai deposit tetap, akan kekal pada paras 90 peratus ke atas, selama-lamanya, tidak kira apa pun yang berlaku?

Andainya hasil kaji selidik bahawa 95 peratus pengundi Cina menolak BN dalam PRU14 itu tepat, sudah pasti sokongan masyarakat Cina terhadap Pakatan Harapan akan merosot, kerana mustahil ada ruang lagi untuk melonjak dengan pelbagai masalah dihadapi kerajaan PH sekarang ini. Persoalannya, sejauh manakah kadar penurunannya, dalam PRK Tanjung Piai?

Dengan persengketaan politik secara terbuka Bersatu dan DAP dalam PH sekarang ini, apakah mustahil untuk masyarakat Cina memangkah semula calon MCA, yang hampir dibakulsampahkan mereka dalam tiga pilihan raya umum berturut-turut sejak 8 Mac 2008?

Berdasarkan maklumat dari sumber, akar umbi DAP tersepit antara dua pilihan. Di satu sisi, mereka tidak mahu berkempen membantu calon Pakatan Harapan (PH) dari Bersatu, di satu sisi lagi, mereka mahu melihat calon lawan dari MCA kecundang pada PRK Tanjung Piai di Johor itu.

Dari kaca mata masyarakat Cina, calon PH (Bersatu) dalam PRK Tanjung Piai, imej dan naratif politiknya tidak jauh berbeza dengan Umno, jadi tidak mustahil sesetengah pengundi Cina memangkah MCA semula, agar DAP berdepan dengan saingan daripada MCA.

Jika tidak memilih MCA, penyokong-penyokong yang kecewa dengan DAP dilihat mungkin mengundi calon dari Gerakan dalam PRK kali ini lebih-lebih lagi ramai dari kalangan masyarakat Cina tidak begitu senang dengan DAP selepas PRU14, dengan faktor yang pelbagai.

Perkembangan itu merupakan sesuatu yang membimbangkan PH memandangkan pada PRU14 tahun lalu, Allahyarham Farid merampas kerusi itu dari penyandang dua penggal sebelumnya, Wee Jeck Seng, hanya dengan majoriti tipis, 524 undi sahaja.

Keputusan 16 November

Calon PH daripada Bersatu berdepan sedikit kesukaran untuk mengekalkan kerusi yang dimenangi pada PRU14 lalu. Kajian yang telah dibuat oleh pengkaji politik, 83% respondent dari 1000 pengundi akan mengundi parti yang sama yang mereka undi pada PRU14 yang lepas.

Pada PRU14 lepas, pengundi Cina yang mengundi BN (MCA) di Tajong Piai adalah 13% sahaja. Parlimen Tanjung Piai mempunyai 52, 986 pengundi berdaftar, dengan 56.88 peratus atau 30,141 adalah Melayu, 41.52 peratus Cina 1 satu India dan 0.09 peratus bumiputera Sabah.

Jika BN (MCA) dapat peningkatan lebih dari 2 % undi Cina, peluang BN (MCA) untuk menang PRK Tanjong Piai adalah cerah setelah undi melayu yang memilih PAS dan menukar kepada calon BN pada PRK kali ini (disebabkan penyokong PAS sudah tentu berbelah bahagi dengan calon dari MCA walaupun pemimpin tertinggi PAS menyatakan sokongan tetapi dijangkakan majoriti orang PAS di sini akan memberikan undi kepada MCA lebih 1,800 dari 2,936 undi PAS dalam PRU14).

Apapun ini adalah jangkaan pengkaji dan pemerhati politik. Semua parti yang bertanding akan berusaha untuk menang. Calon PH akan berusaha untuk mempertahankan kerusi tersebut. Manakala calon BN (MCA) yang mendapat sokongan PAS berusaha untuk menang dengan cuba mendapat undi Cina dan Melayu. Sementara Berjasa pula mahu meraih atau memecahkan undi Melayu/muslim, selepas kumpulan pendukung parti itu kecewa apabila Umno tidak bertanding. Begitu juga dengan calon Gerakan akan mensasarkan undi India dan Cina.

Pertandingan enam penjuru menyebabkan pecahan undi dan agak sengit. Tetapi ramai mengundi berdasarkan parti bukan calon. Bagi sebuah kawasan yang pengundinya lebih 53,000 orang, pertarungan enam penjuru memang agak padat.

Setakat mana undi protes sama ada kepada calon BN atau PH sukar ditentukan dengan pertandingan enam penjuru ini. Jika selain daripada BN atau PH menang pada PRK kali ini, satu kajian baru yang menyeluruh perlu dilakukan selepas ini.

Pada saya tidak mustahil pihak selain BN atau PH boleh menang jika undi berpecah secara tak terkawal. Apa pun tunggulah keputusan pengundian Tanjong Piai pada 16hb November ini.


SUMBER : 1media.my



Live Website Traffic


loading...