Taksub Beratur Berjam-Jam Demi Makanan Viral, UAI Anggap Penyakit Akhir Zaman
0 month ago, 19-Sep-2023
Beratur demi merasai makanan viral pada masa kini sudah dianggap sebagai trend kerana keinginan untuk mencuba dan kuasa “viral” telah menjadikan masyarakat Malaysia berkobar-kobar untuk tidak ketinggalan merasai makanan tersebut. Baru-baru ini seorang pendakwah bebas terkenal iaitu Ustaz Azhar Idrus atau UAI telah menegur peniaga dan juga pelanggan yang taksub dengan sesuatu yang viral lebih-lebih lagi hal makanan.
Beratur Berjam-Jam Demi Makanan Viral
Berdasarkan video yang dimuat naik oleh @insan_marhaen di laman TikTok, ia memaparkan potongan ceramah UAI di mana beliau meluahkan rasa terkilan dengan masyarakat sekarang kerana ada yang sanggup beratur seharian sebelum kedai dibuka demi mendapatkan dan merasai makanan viral.
“Beratur dari 12 malam, pukul 9 pagi esok baru kedai buka. Patutnya esok la pergi beratur. Ini cerdik ke bod*h? Bukannya kita kelaparan enam tahun tiada makanan. Ini penyakit akhir zaman, kasih kepada viral, kasih kepada kemegahan dan rasa hebat”, katanya dalam video tersebut.

Peniaga Tak Endah Tentang Keberkatan Dalam Berniaga
Selain itu, UAI juga memetik isu tentang peniaga pada masa kini telah memandang ringan tentang keberkatan dalam perniagaan dan sanggup melanggar perintah agama demi mengaut keuntungan sendiri.
“Promosi makanan dalam TikTok sekarang, sebahagiannya bagus. Kenapa? Dia jaga pantang larang dalam Islam. Tapi sebahagian promosi dalam TikTok, haram. Bila haram, perniagaan tiada berkat. Tapi masalah kita sekarang, kita tak perlukan keberkatan dah. Kita nak kejar laku, laris, view tinggi, rating tinggi, orang banyak datang beli. Dan pembeli pun rasa hebat dapat beli benda viral“, ujarnya lagi.
Ustaz Tegur Semua Orang, Bukan Sesetengah Golongan
Meninjau di ruangan komen hantaran tersebut, rata-rata netizen bersetuju dengan teguran yang dibuat oleh UAI berkenaan isu terbabit memandangkan ianya kerap berlaku sejak kebelakangan ini terutamanya jika ada sesuatu yang viral. Mereka juga turut mengulas perihal peniaga yang tergamak menyindir UAI hanya disebabkan tidak bersetuju dengan kebenaran tersebut.



Kredit: TikTok insan_marhaen
Taksub Beratur Berjam-Jam Demi Makanan Viral, UAI Anggap Penyakit Akhir Zaman Bawang Rangers.