EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Tahukah anda? Peluang lihat Gerhana Matahari Anulus selepas 1998

0 month ago, 04-Nov-2019


KUALA LUMPUR: Gerhana Matahari Anulus yang pernah terjadi 21 tahun yang lalu iaitu pada 22 Ogos 1998, di Mersing, Johor akan berlaku lagi pada 26 Disember depan.

Pengarah Planetarium Negara, Anita Bahari berkata, Tanjung Piai telah dipilih di Daerah Pontian, Johor dan bandar Serian di Sarawak sebagai lokasi rasmi Program Gerhana Cincin yang juga dikenali dengan panggilan Gerhana Matahari Anulus.

"Ia akan bermula dari tanah Arab, kemudian ke India ,ke Sumatera dan melalui Malaysia iaitu melalui Johor dan Sarawak dan kemudian akan melalui Singapura, mungkin tiga per empat dan ke Borneo dan berakhir di lautan Pasifik.

"Kawasan lingkaran tengah dibatasi oleh lain-lain ini akan menyaksikan gerhana matahari separa, jadi yang tertentu sahaja sahaja akan mengalami Gerhana Matahari Anulus.

"Kalau kita lihat kenampakan gerhana di Malaysia, di Tanjung Piai, Serian ini akan mengalami Gerhana Matahari Anulus dua minit setengah ke tiga minit setengah," katanya semasa sidang media di Planetarium Negara, pada Isnin.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian Perkhidmatan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta Pembudayaan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Nik Kamaruzaman Nik Husin; Ketua Penolong Pengarah Kanan Planetarium Negara, Mohd Zamri Shah Mastor serta Ketua Pegawai Eksekutif Strate Gist Sdn Bhd, Sufian Said.

Jelasnya, Planetarium Negara di Kuala Lumpur pula akan menjadi lokasi rasmi bagi Gerhana Matahari Separa.

Dalam pada itu kata Anita, Planetarium Negara dengan kerjasama Taman Negara Tanjung Piai, Tourism Malaysia serta Majlis Daerah Pontian turut mengatur pelbagai acara berkaitan selama tiga hari bermula 24 sehingga 26 Disember depan yang dinamakan sebagai SolarFest Malaysia 2019.

"Antara aktiviti-aktiviti yang dirancang untuk dijalankan di lokasi-lokasi rasmi termasuk ceramah sains dan bengkel peralatan melihat gerhana, edaran edu-kit gerhana dan pencerapan gerhana.

"Manakala SolarFest Malaysia 2019 di Taman Negara Tanjung Piai pula bakal disertai secara aktif oleh ahli-ahli astrofizik, duta acara, tokoh dan selebriti tempatan melibatkan pelbagai acara sampingan seperti tapak pameran solar, kempen kesedaran alam semesta, solar Gastronomi, kempen penanaman pokok bakau, persembahan muzik dan makanan etnik Johor, program keagamaan dan eksplorasi alam," jelasnya.

Tambahnya, pada acara kemuncak, orang ramai khususnya peminat aktiviti astronomi berpeluang menyaksikan Gerhana Matahari Anulus secara langsung di media sosial yang dijangka diikuti dua juta peminat astronomi di seluruh dunia selain sasaran himpunan sebanyak 2,000 teleskop yang akan dicatatkan di dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Kata Anita lagi, perbezaan tarikan graviti bulan berikutan gerhana matahari cincin bakal menyebabkan fenomena air pasang besar di Tanjung Piai dan pantai barat Semenanjung sehingga 3.4 meter, berbanding kadar biasa iaitu antara dua hingga tiga meter.

Jelasnya, pengunjung juga dinasihatkan untuk tidak melihat gerhana secara terus, sebaliknya menggunakan 10,000 kaca mata khas percuma mengandungi filem penuras sinar matahari yang akan diperuntukkan oleh Planetarium Negara pada hari itu nanti.

SUMBER : 1media.my



Live Website Traffic


loading...