www.edisiviral.com

Berita dan informasi edisi viral di Malaysia.


Sultan Johor Murka, Fitnah Libatkan Baginda Dalam Isu Pencemaran Sisa Kimia

0 month ago, 17-Mar-2019


JOHOR BAHRU, 17 Mac – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar murka terhadap pihak tertentu yang menyebarkan fitnah kononnya baginda terlibat dalam perniagaan kilang yang menyebabkan berlakunya pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang.

Susulan itu, baginda menerusi catitan terbaharu dalam akaun Facebook rasminya hari ini, mengingatkan pihak tertentu supaya jangan cuba mengalih perhatian rakyat atas kelemahan pihak yang sepatutnya menjalankan tugas mereka.

Baginda sebaliknya menggesa mereka menumpukan kepada usaha menyelesaikan isu itu secara tuntas.

“Sudah sampai kepada pengetahuan saya bahawa ada pihak tertentu yang cuba menyebarkan fitnah bahawa saya terlibat dalam perniagaan kilang yang menyebabkan pencemaran di Pasir Gudang.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak supaya berhenti mempolitikkan isu ini. Sila bawa bukti yang sahih jika benar saya terlibat dalam perniagaan kilang itu kerana saya tidak pernah gentar dan tunduk pada fitnah yang memburukkan Institusi Diraja Johor,” titahnya.

Pembuangan sisa bahan kimia ke Sungai Kim Kim mencetuskan pencemaran dan menyebabkan lebih daripada 4,000 penduduk dirawat berikutan mengalami pelbagai simptom termasuk mual, pening, loya, muntah dan sebagainya akibat terdedah kepada tindak balas toksik itu.

Kejadian juga mengakibatkan kesemua 111 buah sekolah di Pasir Gudang ditutup demi keselamatan pelajar, murid, kakitangan sekolah dan guru-guru.

Mengulas lanjut, Sultan Johor bertitah baginda akan mengikuti perkembangan dari semasa ke semasa insiden sisa kimia itu serta kerja-kerja pembersihan yang dilakukan pihak berkuasa. – BERNAMA




SUMBER : umno-online.my


Tags

Travel New York London IKEA NORWAY DIY Ideas Baby Family News Clothing Shopping Sports Games

Popular Posts


Related Posts