EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Sulaiman nasihati mangsa banjir di PPS patuh SOP COVID-19

0 month ago, 22-Nov-2020

MELAKA,. Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengingatkan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan COVID-19.

Ini termasuk sentiasa memakai pelitup muka sepanjang berada di PPS, katanya kepada pemberita selepas meninjau PPS Ayer Molek, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Melaka Datuk Rahmad Mariman berkata lebih 20 petugas kesihatan ditempatkan di PPS di tiga daerah di negeri tersebut yang bertugas mengikut syif dan juga secara on-call.

Selain itu katanya hanya makanan berbungkus yang telah disahkan selamat oleh Bahagian Kualiti dan Keselamatan Makanan, Jabatan Kesihatan Melaka akan diagihkan kepada penghuni PPS.

Bagi memastikan keselamatan mangsa, beliau berkata tandas di PPS terlibat diselenggara oleh pihak berkuasa tempatan sementara kerja sanitasi secara berkala dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka.

Menurut aplikasi infoBencanaJKM, mangsa banjir di Melaka meningkat kepada 416 orang (128 keluarga) setakat 12 tengah hari tadi, berbanding 218 mangsa daripada 52 keluarga pada 9 pagi.

Kesemua 416 mangsa itu ditempatkan di enam PPS di tiga daerah manakala cuaca pula dilaporkan mendung pada tengah hari ini. Hingga kini tiada jalan utama ditutup kepada kenderaan.

BERNAMA





Live Website Traffic


loading...