EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Stadium Shah Alam sedia 'sambut' Red Giants

0 month ago, 22-Mar-2020

KEROSAKAN bumbung di Stadium Shah Alam yang sebelum ini bocor, retak serta ada serpihan pecah sudahpun dibuang dan kini venue berkenaan sudah bersedia untuk menyambut kepulangan pasukan Selangor apabila saingan Liga Super disambung kembali susulan penangguhan ekoran wabak Covid-19.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon, kerosakan bumbung yang sebelum ini menjadi punca Red Giants dilarang beraksi di stadium keramat mereka ekoran isu keselamatan sudah diselesaikan dengan permukaan bumbung yang rosak sudah dicabut.

Katanya, selepas perbincangan bersama beberapa pihak termasuk dengan Jabatan Kerja Raya (JKR), bumbung yang rosak sudah dibuka sekali gus tahap keselamatan penyokong dijamin selamat.

Kami dah buang bahagian yang sebelum ini bocor, retak dan yang nampak macam serpihan plastik di atas bumbung. Tapi tak diganti dengan bumbung baru cuma dibuang dan biarkan ia berlubang kerana perkara yang dibangkitkan mengenai keselamatan di mana takut serpihan bumbung jatuh ke tempat duduk penyokong.

Hasil perbincangan dengan beberapa pihak berwajib, kami dah buang dan memang berlubang. Kalau hujan memang basah di tempat duduk penyokong, kira macam main di stadium terbuka, katanya ketika dihubungi, semalam.

Jelasnya lagi, FAS masih menunggu kelulusan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menggunakan kembali Stadium Shah Alam.

Kami dah maklumkan dan mereka pun ada membuat pemeriksaan. Saya harap kami boleh kembali guna Stadium Shah Alam yang juga gelanggang keramat Merah Kuning selama ini, katanya.

Anak buah B Sathianathan sebelum ini dilarang menggunakan Stadium Shah Alam ekoran kerosakan permukaan bumbung yang membahayakan penyokong.

Daripada empat aksi liga diharungi setakat ini, Selangor hanya dapat sekali beraksi sebagai tuan rumah namun terpaksa menyewa Stadium Nasional Bukit Jalil ketika menentang Perak pada 7 Mac lalu yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Manakala tiga lagi aksi lain menyaksikan skuad Red Giants bermain di gelanggang lawan dengan bertemu Pahang (Selangor menang 2-1), Terengganu (3-3) dan Kedah (Selangor tumbang 2-0) untuk mengumpul lima mata di tangga ketujuh liga.


SUMBER : hmetro.com.my

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...