EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Spekulasi Masa Depan Khairul Fahmi Berakhir, Kekal Komited Bersama Melaka United

1 month ago, 06-Nov-2019

Dengan masalah kewangan yang kritikal pada musim 2019, Melaka United dijangkakan akan melepaskan majoriti pemain ternama bagi membolehkan kedudukan kewangan mereka kembali pulih.

Ini memberi bayangan yang beberapa pemain nama besar seperti Khairul Fahmi Che Mat, Shukor Adan dan bekas kapten Johor Darul Tazim (JDT), Safiq Rahim bakal meninggalkan Melaka United.

Pemain-pemain tersebut sudah tentu bergaji besar dan atas faktor mahu mengurangkan beban pasukan, skuad Hang Tuah mungkin perlu melepaskan mereka untuk menyertai pasukan lain.

Kapten Melaka United, Shukor Adan sejak awal lagi seakan-akan telah memberi bayangan tidak lagi mahu beraksi selepas masalah gaji yang tiada berpenghujung, telah meninggalkan pasukan ketika saingan suku akhir pertama Piala Malaysia. Begitupun, pemain pertahanan otai itu kembali pada suku akhir kedua selepas itu.

Safiq Rahim pula dikaitkan bakal kembali ke pasukan dan negeri kelahirannya, Selangor. Walaupun belum ada pengesahan rasmi, kemungkinan tersebut masih ada bagi membantu revolusi di kem Gergasi Merah. Bagaimana pula dengan Khairul Fahmi Che Mat?

Kelmarin, menerusi laman Facebook rasmi Melaka United, telah diumumkan yang bekas penjaga gol utama skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat akan terus kekal bersama pasukan.

Turut diumumkan dua pemain lain yang akan dikekalkan iaitu pertahanan kanan, Faris Shah Rosli dan pemain sayap, S. Deevan Raj yang menyerlah di kempen Piala Malaysia tempohari.

Untuk rekod, penjaga gol berusia 30 tahun itu telah menyertai Melaka United pada jendela perpindahan kedua musim 2018 selepas dilepaskan Kelantan yang juga mengalami masalah gaji.

Perkara ini telah diumumkan oleh Presiden baharu Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Damien Yeo Shen Li yang turut memaklumkan pasukan akan beroperasi dengan bajet terhad bagi mengelakkan masalah tunggakan gaji kembali berulang.

Selain itu, pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan turut diberikan kuasa penuh bagi memilih dan membentuk skuad bagi musim 2020 di mana mereka menyasarkan untuk kekal di Liga Super serta layak untuk beraksi di Piala Malaysia 2020.

Kredit Featured Image: Melaka United


SUMBER : semuanyabola.com



Live Website Traffic


loading...