EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Sindiket kurang ajar

0 month ago, 13-Aug-2019

SINDIKET Geng Fuad Lombok yang aktif membawa pendatang asing tanpa izin (Pati) memasuki negara ini dikesan wujud sejak hujung tahun lalu selain dianggotai 95 peratus warga Indonesia.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, mengikut maklumat risikan, sindiket itu dikendalikan individu berketurunan Lombok, Indonesia dan memiliki taraf penduduk tetap.

Menurutnya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut tidak menolak kemungkinan pembabitan warga tempatan dalam kumpulan itu sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Terdapat maklumat kaitan Geng Fuad Lombak ini dengan Geng Lombok yang sebelum ini pernah diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Wujud ramai operator penyeludup manusia khususnya di Johor Timur dan mungkin Geng Fuad Lombok adalah serpihan daripada kumpulan asal, katanya.

Menurutnya, geng ini beroperasi menggunakan kaedah berbahaya dan tidak berperikemanusiaan apabila memuatkan pendatang asing tanpa izin di dalam bot secara berlebihan.

Mereka juga dilaporkan bertindak kurang ajar terhadap migran yang diangkut. Kerap kali Pati dibawa itu ditendang ketika turun dari bot.

Malah mereka juga nekad merempuh bot digunakan APMM untuk tujuan penyamaran pada April lalu.

PATI yang ditahan akan dibawa ke depoh tahanan.

Mengikut maklumat perlanggaran itu menyebabkan dua Pati yang diangkut mati dan ada juga cedera parah setiba di Indonesia. Namun mangsa terbabit takut untuk melaporkan kepada pihak berkuasa di sana.

Malah, kumpulan sama juga tidak cekap dalam pengendalian bot sehingga terdapat sebuah bot terbalik di perairan Pulau Nongsa, Batam, Indonesia, menyebabkan ramai penumpang lemas, katanya.

Beliau berkata, sindiket ini hanya mementingkan keuntungan dan migran yang diangkut hanya dianggap sebagai objek keuntungan.

Yang pastinya APMM menyedari kewujudan mereka sejak hujung tahun lalu. Pelbagai usaha membabitkan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa dijalankan bagi melumpuhkan kumpulan itu.

Kumpulan ini dipercayai tidak beroperasi mengikut musim, sebaliknya mengikut permintaan. Namun sejak akhir-akhir ini permintaan menjadi lebih tinggi menyebabkan mereka beroperasi dalam skala besar, lebih tersusun, cekap dan lebih licik, katanya.

Mohd Zulfadli berkata, beberapa tangkapan berkaitan sindiket itu sudah dibuat namun pihaknya lebih menumpukan untuk menahan perancang utama geng itu iaitu seorang lelaki Indonesia berketurunan Lombok dikenali sebagai Fuad yang selalu berulang-alik dari Batam secara haram atau menerusi pintu masuk yang sah.

BOT laju yang digunakan sindiket untuk mengangkut pendatang asing tanpa izin.

Katanya, migran yang masuk ke negara ini datang dari beberapa lokasi di Batam, Indonesia, manakala Pati yang dibawa dikeluar pula datang dari seluruh Semenanjung Malaysia.

Mereka dikumpulkan di pantai timur Johor memandangkan perjalanan di situ lebih cekap, tambahan pula di Batam, mereka mempunyai akses yang mudah ke pelbagai lokasi seluruh Indonesia.

Maklumat yang diperoleh berkaitan kumpulan ini adalah hasil risikan APMM serta kerjasama dengan pihak berkuasa yang lain termasuk pihak berkuasa Indonesia, katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat semasa, caj dikenakan sindiket untuk menyeberang antara Malaysia dan Indonesia adalah antara RM300 dan RM400 seorang.

Caj ini adalah untuk menyeberang semata-mata. Migran juga perlu menanggung caj lain termasuk pengangkutan, makanan serta caj perkhidmatan kepada sindiket lain tertakluk berapa lama masa diperlukan serta sindiket atau tekong diupah Geng Fuad Lombok.

Berdasarkan rekod, ada antara mereka membayar sehingga RM6,000 hingga RM7,000 untuk sampai ke Batam. Jabatan Imigresen ada menyediakan kaedah untuk mereka yang tinggal lebih masa atau sudah disenarai hitam untuk pulang ke Indonesia yang mudah dan cepat.

Pada masa sama, Konsulat Jeneral Indonesia Johor Bahru juga bersedia untuk membantu warga mereka bagi pulang dengan kaedah yang sah.

Kedua-dua kaedah ini bebas risiko keselamatan, jauh lebih murah, cepat dan paling penting tidak perlu menggadaikan nyawa kerana dijamin boleh balik menaiki feri, katanya.


SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic





www.edisiviral.com