NUR SHAFINA MAISARAH SUDAH DITEMUI SEMALAM
0 month ago, 17-Sep-2023

KAJANG: Remaja berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Batu 20 1/4, Kampung Padang, Hulu Langat, Selangor, pada 13 Sept lalu, sudah ditemui semalam.
ARTIKEL BERKAITAN – POLIS MOHON BANTUAN KESAN NUR SHAFINA MAISARAH
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata, pelajar Tingkatan Tiga itu ditemui selamat di kawasan Semenyih.
“Berdasarkan siasatan, punca remaja terbabit keluar dari rumah kerana berlaku perselisihan faham dengan keluarga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Nur Shafina Maisarah Abdullah dilaporkan hilang sejak Rabu lepas selepas keluar dari rumahnya.
Polis menerima satu laporan berkaitan orang hilang daripada seorang suri rumah iaitu wanita berusia 34 tahun yang mengatakan anaknya masih belum pulang dari sekolah selepas dikatakan pergi ke sekolah dengan menaiki bas.
Nur Shafina Maisarah kali terakhir dilihat pada 6.15 pagi, 13 Sept ketika keluar rumah menaiki bas Rapid untuk ke sekolah dengan berpakaian sukan sekolah. Saksi yang juga rakan sekolahnya ada melihat remaja terbabit turun dari bas tetapi tidak masuk ke kawasan sekolah, katanya.
Beliau berkata wanita berkenaan menghubungi guru kelas anaknya, namun remaja terbabit didapati tidak hadir ke sekolah.AlHijrah Online