Seorang Lagi Permata Sedang Digilap Terengganu
0 month ago, 17-Sep-2023
Aksi suku akhir pertama Piala Malaysia Terengganu-Selangor semalam menyaksikan seorang lagi bintang muda mencipta impak besar di atas padang.
Penyerang muda Syahmi Zamri menambah derita pelawat dengan gol kedua tuan rumah pada minit ke-94. Bagi jurulatih skuad Peteh, Tomislav Steinbruckner, impak yang ditunjukkan Syahmi bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Ini kerana dalam saingan Piala MFL, beliau merupakan penjaring terbanyak Terengganu II dengan enam gol dalam 12 perlawanan. Satu-satunya pemain yang boleh mencabar kedudukan Syahmi ialah Muslihuddin Atiq dengan lima gol.
Justeru, tidak hairanlah mengapa Steinbruckner sedia memberinya peluang beraksi untuk pasukan utama. Mengikut Transfermarkt, Syahmi merekodkan sembilan penampilan dalam semua kejohanan Liga Malaysia (Liga M) termasuk tiga aksi Piala Malaysia.
Gol semalam merupakan gol senior pertama Syahmi dengan Terengganu. Dan itu satu perkembangan yang hebat buat penyerang berusia 23 tahun itu.
Sekiranya penyerang muda ini meneruskan kemajuan di bawah didikan Steinbruckner dan jurulatih Terengganu II, Hairuddin Omar, tidak mustahil Syahmi mampu jadi tonggak utama seperti yang dilakukan rakan seposisi, Engku Shakir Engku Yacob.