www.edisiviral.com

Berita dan informasi edisi viral di Malaysia.


Sempena Hari Nakbah, Sedari Projek Sykes Picot Baharu Ke Arah Pembinaan Israel Raya.

0 month ago, 15-May-2019



oleh: Abdul Mu'izz Muhammad
15 Mei 2017

Memperingati hari Nakbah Palestin, marilah kita melihat realiti dunia Islam pada hari ini, khususnya nasib al-Aqsa pasca Arab Spring.

SYKES PICOT 1916.

Perjanjian antara British & Perancis yang cukup penting untuk kita ingati. Melalui hasutan Lawrence Arabia, orang-orang Arab meledakkan pemberontakan ke atas Uthmaniyyah. Bermodalkan sentimen bangsa Arab vs Turki. Ketika itu mereka menganggap Uthmaniyyah adalah penjajah, manakala British adalah penyelamat.

Setelah mereka keluar dari naungan Uthmaniyyah, secara rela bumi umat Islam dibahagi-bahagikan oleh British & Perancis.

Terciptalah negara-negara baharu. Syria & Lubnan diberi kepada Perancis. Iraq, Palestin & Jordan diberi kepada British.

BALFOUR 1917

Terpecahnya umat Islam dan wilayah Islam, memberi ruang selesa kepada Zionis untuk mendarat di Baitul Maqdis melalui perjanjian Balfour yang diusahakan British.

Ketika kedatangan puak-puak Yahudi ke Palestin, orang-orang Arab yang sedang mabuk dengan semangat Arab Revolt dengan angkuh mengatakan;

"Usah bimbang dengan Yahudi yang sedikit itu. Sekiranya kita yang ramai ini meludah, sudah pasti mereka akan hanyut dengan air ludahan kita"

NEO SYKES PICOT.

Pada 1983, Bernard Luwis telah membentang plan jangka masa panjang ke arah pemetaan Baharu Asia Barat. Antaranya:

Mesir dipecahkan kepada empat. Sinai diberi kepada Israel. Iskandariah diberi kepada Kristian. Manakala Kaherah diberi kepada masyarakat Islam. Bahagian selatan pula disekalikan dengan Sudan Utara.

Iraq dipecahkan kepada tiga. Basrah diberi kepada puak Syiah. Baghdad diberi kepada puak Sunni. Manakala bahagian Utara hingga ke Mosul diberi kepada puak Kurdish.

Syria dipecahkan kepada persisir laut diberi kepada puak Syiah Alawi. Halab & Damsyik diberi kepada puak Sunni.

Dengan pecahan tersebut, Israel semakin selamat lagi selesa.

PECAH PERINTAH.

Walaupun strategi pecah & perintah boleh dianggap lapuk, tetapi umat Islam masih mabuk menyebabkan mereka gagal melihat dengan waras apa yang dirancang oleh musuh.

Jika sebelum Sykes Picot 1916, musuh membangkitkan semangat bangsa untuk menaja perang saudara sesama umat Islam. Pada hari ini, mereka menggunakan bangsa & mazhab sebagai bahan provokasi.

Sebagai contoh, 'solusi' bagi Iraq yang ditetapkan oleh Kongres AS pada 2007 mestilah membahagikan Iraq kepada Syiah, Sunni & Kurdish.

Yang pasti, semakin umat Islam berperang sesama sendiri, semakin selamat & selesalah Israel.

9/11

Untuk menjayakan agenda pemetaan semula, konflik harus dicipta terlebih dahulu. Serangan 11 September 2001 dilancarkan untuk memangsakan Islam.

Kempen Islamphobia diperkasa, bahkan menjadi anutan penyembah-penyembah Barat. Kononnya Islam dan umatnya ganas maka selayaknya dilanyak dengan operasi ketenteraan.

Pencerobohan AS ke atas Iraq menjadi pemula kepada projek Neo Sykes Picot. Muncullah konflik antara Sunni & Syiah. Asalnya AS menceroboh, tiba-tiba 'pejuang' Sunni & Syiah pula yang bertelagah. Aneh bukan?

Sementara itu, Israel berada di zon selesa.

PASCA ARAB SPRING

Kebangkitan yang asalnya memberi nafas baharu kepada aspirasi pembebasan rakyat, bertukar menjadi malapeta berpanjangan. Walaupun gerakan Islam mencapai kejayaan di Mesir, Mursi pantas dijatuhkan. Sentimen Salaf & Khalaf dieksploit secukupnya untuk menjustifikan bahawa gerakan Islam sesat lagi khawarij. Jawapan pantas Tuan Guru Abdul Hadi apabila saya ajukan tuduhan kononnya Ikhwan adalah Khawarij;

"Jika Ikhwan, Mursi itu Khawarij, apakah Sisi itu Saidina Ali?". Kami hanya tertawa.

Dengan jatuhnya Mursi, pasti amat melegakan geopolitik Israel.

Syria yang merupakan negara jiran Israel mengalami ledakan kebangkitan yang luar biasa. Sejurus peluru pertama dilepaskan, tersebar di media propaganda pro Barat mewar-warkan bahawa konflik di Syria adalah konflik Sunni vs Syiah. Kejadian aneh ini hanya membenarkan perancangan AS Israel yang mahu memastikan konflik berpanjangan sesama ahli kiblat dapat dilangsungkan.

IBARAT BOMOH MEMBELA HANTU RAYA.

ISIS yang entah dari mana datangnya dengan identiti & kaedah 'jihad' yang cukup mencurigakan, hanya menambah rencah kempen Islamphobia. Perang saudara semakin 'meriah' dengan visual-visual yang memaparkan sesi pembunuhan sesama sendiri.

Kedudukan IS hanya di kawasan-kawasan minyak, sepatutnya dipersoalkan ke mana perginya minyak yang mereka kuasai? Sepatutnya kita persoalkan dari mana mereka dapat persenjataan & kelengkapan perang?

Penganut Islamphobia menjadikan IS sebagai alasan untuk menekan gerakan-gerakan Islam. Sedangkan terdapat maklumat bahawa itu semua itu adalah projek CIA untuk mengkambing-hitamkan gerakan-gerakan Islam. Semakin tercalarnya imej Islam, semakin berjayanya Islamphobia.

Tidak kedengaran pula IS mensasarkan Israel sebagai sasaran prima. Aneh, Israel tetap selamat.

JANGAN LUPAKAN AL-AQSA!

Sedarkah kita, dengan 'kemeriahan' konflik saudara di rantau Asia Barat terutamanya Syria, menyebabkan kita melupakan nasib Palestin seterusnya menselesakan Israel?

Apakah kita sedar bila-bila masa sahaja mereka boleh mengisytiharkan perluasan kuasa Israel dari Sungai Furat hingga muara Sungai Nil? Apakah kita tidak mampu membaca motif dari nekad Trump yang ingin memindahkan kedutaan AS di Israel dari Tel Aviv ke Jurussalem?

Rand Corp seliaan AS menyatakan nekad mereka memanjangkan konflik Asia Barat hingga 2020. Realiti hari ini negara-negara keliling Israel berada dalam keadaan rapuh akibat perang saudara.

Butalah kita sebagai umat Islam jika situasi segenting ini, kita masih hanyut dengan sektarian mazhab apatah lagi percaya dengan kempen Islamphobia yang menggambarkan Islam dan gerakannya ganas serta melampau.

Semoga Allah selamatkan kita, semoga Allah patahkan usaha mereka.



* Gambar buku yang bertajuk Sykes Picot Dan Projek Pemetaan Baharu, Sejarah Lampau & Semasa. Konspirasi Pihak Luar & Persediaan Dalaman. Al-Bayan Center For Research And Studies, 2016.



SUMBER : 1media.my


Tags

Travel New York London IKEA NORWAY DIY Ideas Baby Family News Clothing Shopping Sports Games

Popular Posts


Related Posts