EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

SEDIA MANSUH CAJ POTONG AYAM JIKA HARGA SILING DINAIKKAN PENIAGA

0 month ago, 11-May-2022

Gambar Hiasan. – Bernama

MELAKA: Peniaga ayam di Pasar Besar Melaka di sini rata-rata bersedia untuk memansuhkan caj perkhidmatan memotong ayam sekiranya harga siling ayam dinaikkan pada harga munasabah.

Hasil tinjauan ke atas hampir 15 peniaga, mereka memaklumkan tindakan menang-menang itu perlu bagi mengelakkan peniaga berterusan mengalami kerugian.

Ghazali Abu Bakar, 48, berkata caj upah potong ayam sebanyak 60 sen sekilogram itu dikenakan kepada pelanggan sejak Ramadan lepas bagi menampung kerugian dialami.

“Harga siling ayam RM8.90 sekilogram yang ditetapkan kerajaan sekarang tidak dapat menampung kos operasi perniagaan.

“Dalam masa yang sama, pelanggan pula sering mempersoalkan mereka dikenakan caj upah potong ayam sebanyak 60 sen,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hamzah Osman, 53, berkata harga RM8.50 hingga RM9.50 sekilogram itu adalah harga yang sebenar tanpa sebarang caj perkhidmatan.

“Kalau peniaga ayam kenakan caj potong, peniaga ikan dan daging pun tentu mahu yang sama.

“Jadi lebih baik ditiadakan (caj) dan naikkan harga ayam sekitar RM9.50 sekilogram, sekali gus caj upah potong sebanyak 60 sen sekilogram dapat dimansuhkan,” katanya.

Seorang pengguna, Norhayati Ismail, 40, berkata beliau tidak kisah seandainya dikenakan caj potong ayam namun perlu pada harga yang munasabah.

“Kita tahu semua mahu untung tapi jangan bebankan pengguna. Lagipun ia perkhidmatan tambahan. Sama ada naik harga atau dikenakan caj, ia masih sama,” katanya.

Semalam media melaporkan peniaga ayam mengenakan caj potong ayam sebanyak 60 sen sekilogram dan ia menimbulkan rungutan dalam kalangan pengguna.

Bagaimanapun Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka Norena Jaafar berkata ia tidak menyalahi peraturan selagi masih mengikuti harga siling ditetapkan kerana caj itu adalah perkhidmatan pilihan yang disediakan oleh peniaga kepada pelanggan. AlHijrah Online



SUMBER : alhijrahnews.com



Live Website Traffic


loading...