EdisiViral.Com Search Guest Post Login

SCL2019: Puchong Fuerza Gamestop FC Berkenduri Gol Atasi SA AZE FC

0 month ago, 10-Nov-2019

Puchong Fuerza Gamestop FC mengesahkan tempat ke saingan suku akhir Selangor Champions League 2019 (SCL2019) dengan langkah bergaya selepas membelasah SA AZE FC 6-1 pada aksi minggu keenam yang berlangsung di Arena MPSJ, sebentar tadi.

Puchong Fuerza yang turun selaku juara bertahan bagaimanapun terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan SA AZE FC pada minit ke-17 menerusi Sherif Ahmed.

Sherif yang bergerak solo dari sebelah kanan pintu gol Puchong Fuerza tanpa diduga melakukan percubaan yang sekaligus menewaskan penjaga gol berpengalaman, Redzuan Harun.

Kelebihan jaringan itu hanya mampu bertahan selama dua minit setelah Muhammad Asnan Awal Hisham melepaskan satu rembatan padu dalam kawasan penalti SA AZE FC setelah menerima umpanan daripada Dirga Surdi bagi kembali menyamakan kedudukan.

Gol tersebut nyata menjadi tonik yang sangat berguna buat anak buah Nazrulerwan Makmor itu bagi terus menambah jaringan buat Puchong Fuerza Gamestop FC.

Pemain sayap kiri, Alif Romli meletakkan Puchong Fuerza Gamestop FC di hadapan pada minit ke-22 selepas ledakan dari jarak jauh gagal dihalang penjaga gol Fakhrulrazi Yaakub.

Seminit kemudian, Alif menggunakan kelebihan kepantasan dimiliki dengan memporak-perandakan jentera pertahanan lawan dan ia nyata membuahkan hasil setelah lorongan dilakukannya mudah ditolak masuk Kwofie Hans untuk gol ketiga

Hakim Zainal dan Fazli Zulkifli menambah dua lagi jaringan di minit ke-26 dan 29 untuk selesa mendahului lawan dengan keputusan 5-1 ketika tamat separuh masa pertama.

Kelebihan empat gol seolah-olah masih belum cukup buat para pemain Puchong Fuerza FC apabila mereka terus mendominasi aksi di babak kedua.

Selepas terlepas beberapa peluang keemasan yang terhidang, Dirga menutup pesta jaringan Puchong Fuerza Gamestop FC pada minit ke-61 hasil kombinasi menariknya bersama Kwofie Hans.

Kemenangan besar yang diraih ini meletakkan juara edisi musim lalu itu kini berada di tangga teratas kumpulan A dengan 14 mata, berkelebihan dua mata di hadapan Kingstown Klang FC.


SUMBER : semuanyabola.com



Live Website Traffic


loading...