EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Satira 'tiup' jerebu Farhan

0 month ago, 13-Sep-2019

SEGALANYA bermula selepas aktiviti merakam keindahan semula jadi di perkampungan nelayan di Sekinchan, Selangor terbantut kerana jerebu.

Keadaan berjerebu itu membuatkan jurufoto profesional, Farhan Iqbal, 27, mencipta gerakan #blowbackthehaze menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya, @Iamkanahraf sejak 11 September lalu.

Dalam ciapan yang mendapat lebih 18,600 perkongsian dan 10,300 tanda suka itu, Farhan mengajak seluruh rakyat Malaysia keluar rumah dan memasang kipas meja atau berdiri dan meniup jerebu kembali ke Indonesia sempena Hari Malaysia pada 16 September ini.

Saya sanggup ambil cuti tempoh hari sebab nak rakam foto tetapi apabila sampai di sana, keadaan jerebu teruk dan para nelayan serta orang kampung tiada aktiviti.

Agak kecewa juga tapi ketika sedang duduk minum kopi di sana, saya teringat balik karikatur pernah dihasilkan Datuk Lat.

Jadi saya terfikir untuk kongsi cadangan itu ke Twitter. Manalah tahu masyarakat akan keluar pada 16 September ini sebagai satu bentuk satira?, katanya.

Farhan ketika dihubungi Harian Metro, akui terkejut dengan maklum balas diterima daripada warganet termasuk beberapa selebriti tempatan yang menyifatkan ciapan itu satu jenaka sinis yang sesuai dengan situasi melanda.

Dia yang turut bertugas sebagai akauntan sepenuh masa, melihat kebanyakan warganet yang memberi maklum balas memang kecewa dengan aktiviti pembakaran terbuka yang berlaku setiap tahun.

Beberapa warganet yang berasal dari Indonesia turut memberi maklum balas positif kerana mereka juga turut terkesan dan kecewa dengan situasi melanda.

Saya bukan saja sedih sebab tidak dapat rakam foto tetapi masa sama, situasi jerebu menyebabkan saya tidak dapat mengikuti latihan larian.

Selain itu, aktiviti kebajikan bersama rakan-rakan sukarelawan di Soup Kitchen juga terbantut. Ramai yang jatuh sakit dan seolah tiada tindakan tegas diambil, katanya.

Walaupun apa yang dikongsikan itu terhasil kerana perasaan kecewa tetapi Farhan berharap jenaka sinis itu dapat mengurangkan kemurungan masyarakat yang terkesan akibat jerebu.

Biar pun sekadar satira di media sosial, saya tetap akan berdiri depan rumah dan memasang kipas berdiri pada 16 September ini, katanya.

Beberapa negeri ketika ini termasuk Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan dilaporkan dilanda jerebu.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) hari ini, sebanyak 24 stesen mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat manakala Johan Setia, Klang kekal sebagai satu-satunya kawasan yang merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat dengan bacaan 209.


SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic





www.edisiviral.com