EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Usah sampai kempunan [METROTV]

5 month ago, 11-Jul-2019

KUALA LUMPUR: Stok ikan dalam perairan Semenanjung Malaysia berada pada paras kritikal apabila biomass sumber perikanan demersal semasa direkodkan hanya berbaki 4.4 peratus saja pada masa ini berbanding 60 tahun lalu.

Jabatan Perikanan menjangkakan stok ikan semakin merosot dan sumber hasil laut negara hanya mampu bertahan dalam tempoh kurang 30 tahun saja lagi jika ketirisan tidak ditangani dan dikawal dengan baik.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Munir Mohd Nawi berkata, kajian pentaksiran stok sumber perikanan di negara ini yang dijalankan pasukan penyelidik Jabatan Perikanan mencatatkan nilai biomass bagi sumber demersal, pelagik, tuna dan udang hanya tinggal 1.8 juta tan metrik dengan taksiran nilai RM18.1 bilion.

Dapatan ini diperoleh hasil kajian terakhir pada 2016 dan datanya masih terpakai hingga sekarang.

Berdasarkan kajian itu, stok ikan demersal seperti spesies gelama, kerisi, lolong bara, udang dan sotong semakin menyusut daripada 473,345 tan metrik kepada 21,002 tan metrik saja.

Berbeza dengan perairan Sabah, Sarawak dan Labuan pula, jumlah biomass sumber ikan demersal mereka masih pada tahap kurang membimbangkan apabila mencatatkan kepadatan sumber demersal sebanyak 41.7 peratus, katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, Jabatan Perikanan sedang giat melaksanakan Pelan Pengurusan Perikanan (FMP) sebagai langkah pemuliharaan segera untuk mengatasi kemerosotan sumber selain kelestarian perikanan pada masa akan datang.

Jika dilihat kepada tahap eksploitasi, stok ikan di Semenanjung Malaysia kini berada pada tahap merah dan memerlukan pemuliharaan segera.

Dengan adanya FMP, setiap spesies ikan dan kawasan perairan mempunyai pelan strategik masing-masing antaranya pemulihan stok sumber perikanan, pengurusan perikanan mampan, khidmat nasihat teknikal untuk pembangunan kawasan marin dan lain-lain, katanya.

Katanya, Akta Perikanan yang sedang dalam proses pindaan tahun ini boleh diguna pakai bersama Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 bagi menangani isu pencerobohan nelayan asing.

Ini bukan isu baharu yang diperkatakan, malah kita sentiasa melakukan operasi penguat kuasaan di laut secara bersama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin bagi memantau dan mengawasi perairan negara.

Malah kita tidak teragak-agak jika nelayan tempatan bersekongkol dengan aktiviti menyalahi Akta Perikanan 1985, tindakan tegas termasuk membatalkan lesen serta merta akan dilakukan sebagai pengajaran, katanya.

Munir berkata, pihaknya turut melaksanakan pelbagai tindakan proaktif termasuk mewujudkan Sistem Pas Keluar Masuk Vesel Laut Dalam (SPVC2) di empat pangkalan utama di seluruh negara bagi memastikan vesel laut dalam mendaratkan ikan mereka di negara ini.

Pangkalan itu adalah Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali, Pelabuhan LKIM Kuantan, Pelabuhan LKIM Kuala Perlis, Pelabuhan Bersepadu Tanjung Manis, Sarawak.

Selain itu, syarat pembaharuan lesen akan diperketatkan dengan penggunaan Report Card bagi vesel laut dalam serta turut akan melaksanakan penggunaan Quick Response Code (QR) dan Radio Frequency Identification (RFID) ke atas vesel laut dalam sebagai kaedah identifikasi dan pemantauan.

Kita turut mengambil tindakan menggantung lesen, tidak memperbaharui lesen atau membatalkan lesen vesel laut dalam yang melanggar syarat lesen vesel dan peralatan menangkap ikan, katanya.

Katanya, kerjasama serantau juga dilaksanakan untuk membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram (IUU fishing) dan diperkukuhkan melalui platform bilateral dengan Vietnam dan Thailand.

Apabila pencerobohan nelayan asing berlaku, kesannya bekalan ikan boleh berkurangan. Sudah pasti mereka tidak akan mendaratkan hasil tangkapan di pusat-pusat pendaratan ikan dalam negara.

Apa yang berlaku sekarang adalah kesan daripada pencerobohan sejak sekian lama.

Jika kegiatan ini berterusan untuk jangka masa panjang, stok ikan di laut semakin berkurangan dan menjurus kepada kemerosotan bekalan ikan negara, malah kemungkinan pada 2048 kita sudah tidak ada sumber ikan di laut, katanya.

Hanya 50% ikan mendarat di Malaysia

KUALA LUMPUR: Dianggarkan 980,000 tan metrik hasil laut negara bernilai antara RM3 bilion hingga RM6 bilion hilang setiap tahun akibat dicuri nelayan asing.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Munir Mohd Nawi berkata, aktiviti pencerobohan nelayan asing yang agresif menyebabkan hanya 50 peratus ikan ditangkap di perairan negara didaratkan di Malaysia.

Mendedahkan perkara itu Munir berkata, baki tangkapan sekitar perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia tidak dilaporkan, bermakna berlaku pencerobohan nelayan asing yang mencuri hasil laut negara.

Katanya, perairan negara kaya dengan hasil laut yang bernilai tinggi seperti gamat, sotong dan ikan yu kerap menjadi sasaran nelayan Vietnam.

Boleh kata setiap kali pihak berkuasa negara melakukan tangkapan, ikan dan hasil laut jenis ini paling banyak ditemui dalam bot mereka.

Kerjasama strategik Jabatan Perikanan giat dilakukan dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) bertujuan melaksanakan penguatkuasaan di laut.

Melalui Sistem Pemantauan Vesel (VMS), kita berjaya mengesan 128 kapal asing menceroboh perairan Malaysia, semakan dilakukan mendapati 43 peratus daripadanya adalah dari Vietnam, katanya kepada Harian Metro.

Munir berkata, mulai September 2017, Jabatan Perikanan tidak lagi mengeluarkan permit laut dalam untuk vesel perolehan luar negara termasuk dari Vietnam.

Terkini katanya, jabatan menggalakkan pembinaan vesel baharu di limbungan tempatan melalui pemodenan vesel.

Begitu banyak aduan diterima daripada nelayan dan melalui pemantauan pusat FISHCOM Jabatan Perikanan di Putrajaya, kita juga menyalurkan maklumat jika ada vesel tempatan yang keluar dari perairan negara.

Ia termasuk pencerobohan vesel nelayan asing melalui sistem satelit dan Sistem Pengesanan Automatik (AIS) kepada APMM khususnya untuk tindakan penguatkuasaan, katanya.

Jabatan Perikanan turut melaksanakan Sistem Pas Keluar Masuk Vesel Laut Dalam (SPVC2) di empat pangkalan utama di seluruh negara bagi memastikan vesel laut dalam mendaratkan ikan di jeti tempatan.

Sistem pembaharuan lesen akan ditambah baik dengan penggunaan kad laporan bagi vesel laut dalam bagi memberi wajaran dan penalti ke atas prestasi pendaratan ikan, keaktifan alat MTU-VMS, ciri keaslian vesel serta bilangan kesalahan yang dilakukan, katanya.

Katanya, jika didapati ada dalam kalangan nelayan tempatan bersekongkol dengan aktiviti menyalahi Akta Perikanan 1985 ini, pihak jabatan akan mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan lesen nelayan terbabit.

Statistik Jabatan Perikanan pada 2017 merekodkan sebanyak 433 kes vesel tempatan bertindak keluar dari perairan perikanan negara tanpa kebenaran.

Sebanyak 259 kes atau 60 peratus kapal ini dikesan menuju ke Thailand, 168 kes (39 peratus) lagi ke Vietnam dan tiga kes (1 peratus) ke China dan Indonesia. Ini semua sudah diambil tindakan tegas oleh pihak jabatan.

Tindakan tegas diambil adalah dengan melaksanakan program pemutihan vesel laut dalam bagi memastikan lesen diberikan kepada pengusaha benar-benar tulen dan mematuhi undang-undang serta prosedur pelesenan ditetapkan, katanya.

Tunggu laporan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani masih menunggu laporan terperinci daripada Jabatan Perikanan sebelum mengambil tindakan selanjutnya terhadap pihak bersekongkol dalam isu bot klon dan lesen alibaba membabitkan nelayan Vietnam

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, tindakan hanya akan diputuskan selepas meneliti segala maklumat aktiviti haram itu menerusi Jabatan Perikanan.

Saya memang maklum berdasarkan pendedahan Harian Metro (HM) itu. Berdasarkan nombor pendaftaran vesel kita arahkan Jabatan Perikanan buat siasatan rapi untuk kenal pasti siapa pemiliknya dan kesalahan dilakukan.

Kita sudah ada peraturan dan akta semalam (kelmarin) pun baru diluluskan (Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2019 jadi buat masa ini, saya tidak boleh buat keputusan berdasarkan hanya laporan (HM) saja.

Nanti dapatan siasatan itu saya akan teliti barulah saya boleh kemukakan tindakan seterusnya. Undang-undang memang ada cuma cara mana kita nak bina (laksanakan) bergantung kepada hasil siasatan itu, katanya ketika ditemui Harian Metro di Parlimen di sini, semalam.

Menjawab dakwaan penguatkuasaan lemah punca berlaku ketirisan, beliau meminta pihaknya diberi ruang untuk menyiasat.

Saya tidak sampai ke situ biar saya dapatkan maklumat itu dulu. Selepas itu, saya akan buat kenyataan lain, katanya.


SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic


loading...