EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Sambutan luar biasa di Rumah Terbuka Perdana Menteri tanda sokongan, lambang perpaduan

0 month ago, 08-May-2022

Seronok sekali menyaksikan kemeriahan sambutan Aidilfitri tahun ini setelah dua tahun ia tidak dirayakan secara normal ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara awal 2020.

Kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah melakukan yang terbaik bagi memastikan sambutan Aidilfitri tahun ini dapat disambut oleh semua golongan rakyat.

Kesesakan jalan raya, ketiadaan bekalan air atau keputusan bekalan minyak petrol semuanya tidak menghalang kemeriahan sambutan dan pasti menjadi kenangan di hari mendatang.

Syukurlah dengan pembukaan sempadan negeri dan kelonggaran ke atas pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 maka kehidupan rakyat kini telah menjadi hampir normal.

Dapat didengar, dilihat dan dibaca di mana-mana sahaja betapa gembiranya umat Islam yang tinggal berjauhan bila dapat beraya bersama-sama ahli keluarga dan sanak saudara di kampung.

Begitu juga dengan pelbagai Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran pelbagai pihak, daripada para pemimpin kepada rakyat biasa, yang kini kembali berlangsung meriah.

Perdana Menteri sendiri selaku Ahli Parlimen Bera juga kembali menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bera di Dataran Kerayong, Bera, pada 7 Syawal atau 8 Mei.

Rumah Terbuka ini menarik sekali kerana ia membabitkan penduduk dari pelbagai kampung yang bergotong-royong beramai-ramai menyiapkan juadah berbeza di gerai mereka sendiri.

Puluhan ribu pengunjung dari pelbagai kaum bukan hanya dari Bera malah dari luar Bera dan dari luar Pahang datang berkongsi kegembiraan untuk beraya dengan Perdana Menteri.

Lebih meriah lagi ialah Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022 di Laman Sari, Seri Perdana, semalam, 7 Syawal atau 8 Mei.

Rumah Terbuka ini paling menarik kerana ia dibuat di luar dari kebiasaan yang lazimnya dibuat pada 1 Syawal menjadikan mereka yang balik kampung tidak dapat mengunjunginya.

Ini kerana Perdana Menteri sendiri mahu memberi ruang seluas-luasnya kepada seluruh rakyat untuk meraikan Aidilfitri bersama ahli keluarga dan sanak saudara di kampung terlebih dahulu.

Disebabkan ia dibuat pada 7 Syawal warga kota yang telah kembali dari beraya di kampung semuanya berpeluang untuk beraya dengan Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri.

Disebabkan sambutan diterima adalah di luar jangkaan, Rumah Terbuka yang dijadual berlangsung enam jam, iaitu dari 10 pagi ke 4 petang, dimulakan seawal 9 pagi dan dilanjutkan ke 6 petang dengan Perdana Menteri setia menunggu hingga majlis selesai.

Tanpa merasa penat dan jemu Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri menyantuni dan meraikan seramai lebih 100,000 pengunjung yang beratur panjang dan memenuhi setiap ruang Laman Sari.

Bertepatan dengan tema Raya Keluarga Malaysia, Syawal Dirai, Nikmat Disyukuri, pelbagai golongan pengunjung dari setiap latar belakang kaum, usia dan kedudukan mengunjunginya.

Deretan kereta memenuhi jalan-jalan di luar Seri Perdana dan masing-masing menunjukkan wajah gembira walaupun terpaksa jauh berjalan kaki untuk tiba di lokasi Rumah Terbuka.

Rata-rata pengunjung mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di atas pelbagai usaha yang membolehkan semua kembali hidup secara hampir normal.

Turut membantu adalah perkhidmatan bas percuma yang disediakan di tiga lokasi strategik selain kemudahan buggy untuk kegunaan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas.

Petugas Kementerian Kesihatan (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) juga memainkan peranan.

Selain memastikan kelancaran majlis, mereka juga memastikan pematuhan SOP berlaku, termasuk memastikan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka dalam kawasan tertutup.

Selaras dengan tiga teras utama di dalam konsep Keluarga Malaysia, iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran, Rumah Terbuka ini adalah cerminan kepada kesemuanya.

Selain daripada para pemimpin kerajaan, para pemimpin kerajaan juga turut menghadirinya, sama seperti Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri yang membabitkan semua golongan.

Lebih bermakna lagi pada sambutan kali ini ialah bila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan berangkat ke Rumah Terbuka ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka di Seri Perdana pada kira-kira 11.30 pagi disambut oleh Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, dan pemimpin lain.

Keberangkatan Seri Paduka ke Rumah Terbuka ini menjadi petanda jelas mengenai betapa eratnya hubungan antara Kerajaan Keluarga Malaysia dan Istana Negara serta Institusi Beraja.

Walaupun ada cubaan daripada sesetengah pihak untuk menjarakkan mereka, ternyata Kerajaan Keluarga Malaysia sentiasa menjunjung tinggi Istana Negara serta Institusi Beraja.

Sejak Ismail Sabri menjawat jawatan Perdana Menteri tiada isu yang boleh merenggangkan hubungan antara Kerajaan Keluarga Malaysia dengan Istana Negara serta Institusi Beraja.

Semoga hubungan yang harmoni antara Kerajaan Keluarga Malaysia dengan Istana Negara serta Institusi Beraja, yang membantu mewujudkan kestabilan, ini akan terus berkekalan.

Pasca sambutan Aidilfitri di Rumah Terbuka ini Perdana Menteri akan segera bergegas ke Amerika Syarikat untuk menghadiri beberapa pertemuan dengan pemimpin negara itu.

Pertemuan-pertemuan tersebut, termasuk dengan Setiausaha Negara dan Presiden Amerika Syarikat, bersama-sama para pemimpin ASEAN lain pastilah untuk kepentingan negara.

Dalam waktu yang sama, Perdana Menteri juga dijadualkan akan menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Keluarga Malaysia di London dan di Washington DC.

Sekembalinya dari luar negara nanti banyak lagi agenda-agenda besar negara yang menunggu untuk dibereskan oleh Perdana Menteri demi kepentingan semua golongan rakyat.

Begitulah kisahnya seorang anak kampung yang tiba-tiba sahaja diberikan tanggungjawab selaku Ketua Kerajaan setelah sebelumnya berperanan sebagai Ketua Pembangkang.

Walaupun berhadapan dengan tanggungjawab yang besar dan dipenuhi dengan jadual yang ketat, kebajikan semua golongan rakyat, khasnya golongan marhaen, tetap di hati beliau.

DR. Kamarul Zaman Yusoff ialah Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (Colgis), Universiti Utara Malaysia (UUM) merangkap Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar).

–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Sambutan luar biasa di Rumah Terbuka Perdana Menteri tanda sokongan, lambang perpaduan The Malaya Post.



SUMBER : themalayapost.my



Live Website Traffic


loading...