EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Sajat diminta bayar RM200,000 atau diisytihar muflis

1 month ago, 26-Aug-2021

Sajat masih gagal dijejaki selepas dikatakan menghilangkan diri sejak Februari lalu.
Shah Alam: Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini membenarkan notis kebankrapan terhadap usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat diserahkan secara penyampaian ganti melalui notis iklan dan penampalan.

Peguam utama OWA Resources, Nurul Hafidzah Hassan berkata, ini berikutan kegagalan usahawan terbabit membayar penghakiman sebanyak RM200,000 kepada bekas stokis utama iaitu OWA Resources seperti yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada April lalu.

"Dua plaintif dari OWA Resources iaitu Nurwati Hussin, 41, dan Mohammed Syakir Hussin, 32, berkata, notis berkenaan sudah dibuat minggu ini namun pihaknya belum menerima sebarang afidavit membantah notis kebankrapan itu oleh pihak Muhammad Sajjad.

"Pihak anak guam tidak dapat menjejaki lokasi sebenar defendan.

"Oleh itu, kami mendapatkan kebenaran mahkamah untuk menyerahkan notis secara iklan, menampal notis di mahkamah dan di depan rumah defendan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Nurul Hafidzah berkata, pada tahun lalu, anak guamnya berjaya membekukan akaun bank defendan tetapi hanya dapat memperoleh RM5,000 iaitu baki terkini dari akaun terbabit.

"Ini dilakukan melalui tindakan garnisi terhadap kesemua akaun defendan-defendan.

"Berikutan kegagalan defendan membayar penghakiman mahkamah, anak guam tiada pilihan lain melainkan membankrapkan defendan," katanya.

Nurul Hafidzah berkata, mengikut penghakiman Mahkamah Rayuan, Muhammad Sajjad gagal dalam rayuannya bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkan usahawan itu membayar ganti rugi sebanyak hampir RM200,000 kepada OWA Resources.

"Difahamkan, pihak Muhammad Sajjad ada membuat cadangan awal bulan ini untuk membayar ganti rugi itu secara ansuran sebanyak RM3,000 sebulan sehingga selesai pembayaran penuh tetapi pihak plaintif tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini OWA Resources cuba menyerahkan notis bankrapsi kepada Muhammad Sajjad sebanyak tiga kali termasuk percubaan menyerahkan surat temujanji dan percubaan lain.

Bagaimanapun katanya, oleh kerana semua percubaan serahan itu gagal kerana Muhammad Sajjad tidak dapat ditemui maka plaintif memfailkan notis terbabit untuk serahan secara alternatif iaitu melalui notis iklan di surat khabar, di mahkamah dan juga di depan rumah defendan.

"Berdasarkan notis berkenaan, Muhammad Sajjad perlu membayar RM113,327 dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 13 September 2018 (tarikh pemfailan writ saman) sehingga 3 Mac 2021 (tarikh notis kebankrapan) serta kos mahkamah sebanyak RM70,000 dan setakat 3 Mac 2021 jumlah itu menjadi RM197,329.87.

"Akta Insolvensi 1967 membenarkan prosiding kebankrapan dimulakan ke atas mana-mana individu yang gagal membayar penghakiman melebihi RM100,000.

"Oleh itu, OWA Resources memfailkan notis kebankrapan terhadap Muhammad Sajjad kerana masih gagal membayar jumlah berkenaan sehingga kini," katanya.

Nurwati, Pengasas OWA Resources adalah bekas stokis produk bengkung dan girdle Muhammad Sajjad memaklumkan krisis undang-undang dan perniagaan itu menjadi pengajaran kepada syarikatnya agar lebih berhati-hati dalam memilih rakan perniagaan pada masa hadapan.

Beliau akan memastikan melakukan pemeriksaan wajar melalui peguam korporat yang dilantik sebelum menjalankan sebarang kerjasama perniagaan dengan mana-mana pihak selepas ini.

| Metro


............oo000oo........... 
PENAFIAN1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.


SUMBER : 1media.my



Live Website Traffic


loading...