EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Retorik politik 16 September 2008.

0 month ago, 16-Sep-2020


Abdul Mu'izz Muhammad
16 September 2020.

Selain sebagai Hari Malaysia & Hari Angkatan Tentera Malaysia, 16 September juga merupakan tarikh peristiwa yang tidak kurang istimewanya dalam pergolakan politik Malaysia pada tahun 2008. Pakatan Rakyat (PR) yang ketika itu dianggotai oleh PKR, DAP & PAS sedang kuat mengasak kerajaan BN pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk berundur.
Tun Abdullah hangat dikritik oleh anggota partinya sendiri kerana membebaskan DS Anwar Ibrahim (DSAI). Ia membawa implikasi buruk kepada pentadbirannya, apabila DSAI sebagai politikus yang dianggap (street fighter) sejak zaman siswanya itu melancarkan propaganda kononnya 16 September 2008 akan berlaku peralihan kuasa dari BN kepada PR.


Desakan Kontroversi.
Terdapat 3 isu besar yang dimainkan oleh PR ketika itu untuk menjatuhkan kepimpinan Tun Abdullah:

Tindakan tidak popular kerajaan BN menaikkan harga petrol setinggi RM2.70. Ia amat mengundang kemarahan rakyat.

Reputasi Tun Abdullah yang dipropagandakan sebagai lemah. Banyak gambar-gambar beliau tertidur dalam mesyuarat & persidangan disebarkan sebagai bahan politik.

Tun Mahathir bersama dengan Tan Sri Muhyidin ketika itu melancarkan serangan terbuka ke atas pentadbiran Tun Abdullah, kerana tidak berpuas hati dengan reputasinya.

Idea 16 September.
Mengambil kesempatan terhadap ketidakstabilan politik, maka DSAI selaku peneraju PR mengisytiharkan akan berlaku peralihan kuasa. Ideanya adalah, dengan 'memujuk' ahli-ahli parlimen BN yang dikatakan seramai 30 orang agar melompat berpihak kepada PR bagi membentuk kerajaan baharu.

Suasana politik negara ketika itu diikuti dengan sangat teruja, terutamanya oleh penyokong-penyokong PKR, DAP & PAS. Sementara bagi penyokong BN, ia adalah situasi yang sangat mencemaskan. Perkembangan tersebut menyebabkan tekanan ke atas Tun Abdullah dari luar & dalam semakin kuat.

Kronologi.

14 April 2008:
DSAI berceramah di Kelab Sultan Sulaiman, mengisytiharkan sudah ada ahli parlimen dari UMNO, Sabah & Sarawak yang menyatakan keresahan bersama kerajaan BN. Perundingan sedang berlaku.

22 April 2008:
Ketika ditemuramah oleh New Hour Australia, DSAI mendedahkan bahawa ada wakil-wakil rakyat dari kerajaan BN yang sedar akan kepincangan pentadbiran Tun Abdullah. Beliau mendakwa, pihak PR sudah ada angka ahli parlimen yang cukup untuk membentuk kerajaan.

8 Jun 2008:
Sidang media di pejabat PKR, DSAI menjawab soalan wartawan bahawa proses perundingan untuk menambah ahli-ahli parlimen PR sedang berlangsung.

30 Jun 2008:
DSAI mendedahkan di luar kedutaan Turki, bahawa sudah ada 4 orang ahli parlimen BN yang telah menyatakan kesediaan bersamanya membentuk kerajaan PR.

28 Ogos 2008:
Ketika ditemuramah oleh al-Jazeera, DSAI mendakwa pihaknya akan beroleh majoriti mudah kelak. Beliau menegaskan bahawa 16 September 2008 akan berlaku secara dramatik. Pihak majoriti (merujuk dirinya), akan layak diangkat menjadi PM.

12 September 2008:
4 orang pimpinan PKR ke Taiwan, dikatakan kononnya akan bertemu dengan 49 orang ahli parlimen BN bagi tujuan perundingan peralihan kuasa.

15 September 2008:
DSAI mendedahkan dalam ceramahnya di stadium Kelana Jaya, bahawa pihak PKR, DAP & PAS telah menandatangani surat permohonan pertemuan segera dengan Tun Abdullah, bagi tujuan mendesak peralihan kuasa. Setelah diselidiki, ternyata surat yang dimaksudkan hanya bertajuk membincangkan masalah kestabilan negara & arah tuju politik.

16 September 2008:
DSAI mengisytiharkan sudah ada lebih 31 ahli parlimen BN yang sedang melompat untuk bersama PR & katanya angka tersebut akan bertambah. Namun, ternyata peralihan kuasa yang disensasikan berlaku pada 16 September itu, tidak terjadi.

18 September 2008:
Apabila didesak mengapa tidak berlaku 16 September, DSAI beralasan bahawa Tun Abdullah tidak melayani desakan untuk diadakan sidang parlimen tergempar. Maka pihak PR tidak ada akses untuk peralihan kuasa.

10 Oktober 2008:
DSAI menabur retoriknya dalam ceramah di padang MPKB Kelantan. Beliau menjelaskan bahawa kegagalannya merealisasikan peralihan kuasa pada 16 September seperti yang telah dijanjikan, adalah untuk menguji kesabaran, ketabahan & istiqamah dalam perjuangan.

13 Oktober 2008:
Sidang parlimen bermula, tiada apa-apa yang signifikan berlaku. Apabila ditanya oleh wartawan mengapa tiada undi tidak percaya bagi membolehkan peralihan kuasa berlaku? DSAI menjawab fokusnya ketika itu adalah belanjawan negara.

Projek 16 September 2008 DSAI, gagal. Ramai yang rasa tertipu. Termasuk bagi penyokong-penyokong PR sendiri, sekalipun mereka malu mengakuinya ketika itu.

Kepincangan Moral Dalam Berpolitik.
Moral sifatnya pasti seragam. Bermaksud jika sesuatu perbuatan itu buruk, maka keburukan tersebut terpakai ke atas semua pihak. Jika kita tidak suka orang lain melakukan sesuatu yang buruk ke atas kita, maka kita juga tidak boleh melakukan perkara yang sama ke atas orang lain.

Dalam praktis politik hanya ada manipulasi sistem secara maksimum. Adapun pertimbangan moral, diletak ke tepi kerana selalunya ia tidak dapat melunasi obsesi politik masing-masing.

Sejarah 16 September DSAI adalah salah satu contoh kepincangan moral dalam memanipulasi sistem demokrasi berperwakilan. Sekalipun lompat-melompat dibolehkan secara peraturan politik, namun ia adalah kesalahan moral bagi wakil rakyat kerana ia dianggap mengkhianati mandat undi dari rakyat.

Mahu cakap lebih-lebih pun, berapa ramai Islamis yang turut teruja dengan retorik politik DSAI ketika itu. Bahkan ia disahut dengan laungan takbir penuh semangat. Mungkin sejarah seumpama ini, belum diikuti oleh generasi baharu. Sesungguhnya sejarah adalah pengalaman & pengajaran.

: https://www.facebook.com/abdulmuizz.muhammad.5/posts/3548908931806524

SUMBER : 1media.my

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...