EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Rebut peluang ECRL - Dr Mahathir [METROTV]

3 month ago, 15-Apr-2019

TUN Dr Mahathir Mohamad berharap kerajaan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang yang bukan terletak di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) akan merebut peluang disediakan melalui rangkaian projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Perdana Menteri berkata, susulan keputusan kerajaan menyambung semula projek berkenaan, beliau berharap kerajaan ketiga-tiga negeri di pantai timur itu memanfaatkan peluang pembangunan dan pertumbuhan akan dihasilkan daripada pembinaan ECRL.

Beliau berkata, keputusan merunding semula perjanjian projek itu dengan China adalah selaras manifesto Kerajaan PH untuk mengkaji semula semua projek mega ditandatangani pentadbiran terdahulu, seterusnya membawa pembangunan lebih saksama antara pantai barat dan timur Semenanjung.

Katanya, usaha memperbaharui perjanjian projek ECRL yang bermula pada Julai 2018 menghasilkan penjimatan besar bagi negara, sekali gus mencapai objektif utama pentadbiran PH ketika memulakan proses rundingan dengan China.

Kerajaan PH ingin menekankan bahawa bantahan terhadap ECRL (sebelum ini) adalah mengenai kos tinggi mengikut perjanjian asal ditandatangani pentadbiran (kerajaan) Barisan Nasional (BN) dan bukan terhadap ECRL.

Kami berterima kasih kepada kerajaan China kerana memahami kedudukan kewangan Malaysia dan bersetuju untuk berunding.

Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada pasukan perunding Malaysia diketuai Tun Daim Zainuddin dan pelbagai kumpulan kerja atas usaha gigih membolehkan ECRL diteruskan dengan kos jauh lebih rendah untuk kepentingan rakyat Malaysia, katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Perdana Menteri berkata, sebab utama kerajaan membantah projek ECRL yang asal adalah berdasarkan kontrak asal dirunding dan ditandatangani pada 2016.

Beliau berkata, ketika itu dipersetujui harga dibayar secara sekali gus (lump sum), selain tidak jelas daripada segi spesifikasi teknikal, harga dan dengan lanjutan serta justifikasi ekonomi.

Oleh kerana perjanjian asal dipersetujui atas dasar G2G (perbincangan antara kerajaan), Kerajaan PH dalam merundingkan perjanjian lebih baik untuk ECRL terpaksa melakukannya dalam kekangan perjanjian sedia ada.

Kerajaan berhadapan pilihan sama ada merunding semula atau membayar kos penamatan kontrak kira-kira RM21.78 bilion, tanpa ada apa-apa hasil.

Oleh itu, kami memilih untuk kembali ke meja rundingan dan meminta kesepakatan lebih saksama apabila keperluan rakyat Malaysia diberi keutamaan, katanya.

Selepas rundingan panjang dan berlarutan antara kerajaan Malaysia dan China, Dr Mahathir berkata, kedua-dua pihak mencapai persetujuan saling menguntungkan iaitu perjanjian baharu ECRL yang dipertingkatkan.

Kerajaan Persekutuan percaya ECRL akan berfungsi sebagai rangsangan untuk pertumbuhan dan pembangunan ekonomi terutama di negeri pantai timur, tanpa mengira hakikat bahawa negeri ini berada di bawah kawalan pembangkang.

Projek lebih baik ini akan menyediakan pengangkut barang dan penumpang, selain menarik pelaburan di sepanjang koridor kereta api serta menjana peluang pekerjaan yang penting, katanya.


SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic





www.edisiviral.com