EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Guru al-Quran teristimewa [METROTV]

0 month ago, 13-Feb-2020

KEKURANGAN lelaki orang kurang upaya (OKU) fizikal ini tidak pernah membataskan keikhlasannya untuk berkongsi ilmu agama termasuk mengajar al-Quran kepada masyarakat.

Walaupun hanya terbaring, namun Mohamad Azfar Mohd Yusuf, 32, tetap bersemangat mengajar al-Quran kepada 30 pelajar berusia enam sehingga 17 tahun di rumahnya di Taman Ria, Sungai Petani.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu mengalami masalah saraf sejak kecil membuatkan hampir keseluruhan anggota badannya tidak mampu bergerak.

Azfar berkata, pengajian al-Quran yang dijalankannya bermula sejak 2005 selepas mengambil alih tugas mengajar daripada abang sulung, Mohd Asyraf, 35, yang menerima tawaran bekerja dalam sektor kerajaan.

Waktu itu pelajar abang ramai, bila abang dah tak boleh mengajar mengaji, terdapat pelajar yang masih mengharapkan ada yang mengambil alih tugas abang.

Justeru, mak (Naimah Mohd Saad, 63) meminta saya gantikan abang, namun awalnya saya agak keberatan kerana memikirkan keadaan diri, kerana risau tak mampu mengajar dengan baik.

Namun, saya tetap mencuba dengan hanya mengajar 10 pelajar saja ketika itu sebagai permulaan, katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini.

Azfar berkata, dia mula mempelajari ilmu agama sejak berusia 13 tahun melalui pengajian di rumah dengan menjemput beberapa tenaga pengajar berikutan tidak mampu ke pusat pengajian kerana keadaan fizikalnya yang tidak mengizinkan.

Katanya, dia berhenti sekolah selepas tamat Tahun Enam kerana tidak mahu menyusahkan ibu bapanya yang terpaksa mengendong dia ke sekolah selain aktiviti di sekolah juga tidak sesuai dengan keadaannya fizikalnya.

Katanya, berikutan itu, dia hanya meneruskan pengajian di rumah sehingga ke hari ini bagi mendalami ilmu agama termasuk ilmu tajwid untuk memantapkan penguasaan dalam bacaan al-Quran.

Bercerita lanjut mengenai kelas pengajian al-Quran dilakukannya, Azfar berkata, dia turut mengadakan kelas tajwid buat pelajarnya bagi memberi kefahaman lebih mendalam dalam bacaan al-Quran kepada mereka.

Selalunya kelas tajwid akan diadakan seminggu sekali dan saya akan mengajar melalui televisyen yang disambung ke telefon pintar yang mempunyai maklumat berkaitan hukum tajwid.

Dengan cara ini, saya rasa pelajar lebih mudah memahami sekali gus dapat membaca al-Quran dengan lebih baik, katanya.

Disebabkan kebolehan mengajar yang dimiliki oleh pemegang Sijil Pentaulihan Mengajar Agama Islam Negeri Kedah itu, Azfar menerima banyak permohonan daripada penduduk sekitar untuk menghantar anak-anak mereka ke ke kelas pengajian al-Quran yang dilakukannya. Bagaimanapun, dia terpaksa mengehadkan jumlah pelajar bagi membolehkannya memberi tumpuan kepada pelajar sedia ada.

Ada permintaan ibu bapa yang ingin menghantar anak mereka, selain ada pelajar yang sudah khatam ingin mengulang membaca al-Quran.

Namun, saya terpaksa mengehadkan hanya 30 pelajar saja bagi memberi sepenuh tumpuan selain memberi keselesaan kepada pelajar sendiri, katanya.

Azfar berkata, dia juga bersyukur kerana kebanyakan pelajarnya begitu memahami keadaan dirinya sekali gus memudahkan urusan sepanjang kelas pengajian berlangsung.

Katanya, pelajar yang lebih dewasa selalunya akan membantunya dalam mengawal pelajar lebih muda dan akan menolong sekiranya dia memerlukan bantuan.

Selain pengajian di dalam kelas, saya turut menjalankan pengajian al-Quran bagi golongan dewasa melalui aplikasi WhatsApp.

Saya hanya mahu menjadi contoh kepada masyarakat dan apa yang dilakukan hanyalah bagi mencari reda Allah sebagai saham akhirat kelak.

Selagi mampu, saya akan terus membantu masyarakat dalam memantapkan lagi penguasaan al-Quran, katanya.


SUMBER : hmetro.com.my

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...