EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Pusat internet mampu lahir usahawan berdaya maju, sumbang pembangunan sosioekonomi

0 month ago, 16-Sep-2020

PUTRAJAYA, 16 Sept Pusat Internet yang diwujudkan di seluruh negara bukan sahaja mampu menjadi wadah untuk memperkasa aktiviti penduduk setempat tetapi juga dapat melahirkan golongan usahawan berdaya maju, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi di sesebuah tempat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata menerusi pelbagai latihan dan program dianjurkan di pusat Internet, golongan usahawan boleh memanfaatkan kemahiran yang dipelajari untuk menambah pendapatan selain memperluas jaringan produk mereka ke seluruh dunia.

Proses transformasi akan dijalankan di pusat Internet di seluruh negara nanti akan memfokuskan kepada tindakan menjadikan ia bukan sahaja mampu menjana peluang pekerjaan baharu dan memacu pertumbuhan aktiviti e-dagang, malah menyediakan lebih banyak perkhidmatan dalam talian untuk kemudahan rakyat, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberi contoh di Sarawak, kewujudan Pusat Internet Rantau Panjang di Sibu memberi impak yang positif kepada pembangunan sosioekonomi dan kini penduduk di sana mampu menjalankan urusan seharian dengan lancar di hujung jari mereka tanpa perlu berulang-alik.

Selain itu, Saifuddin berkata kemudahan pusat Internet turut memberi nilai tambah kepada penduduk untuk mempelajari kemahiran baharu bagi mendepani cabaran mendatang.

Semalam, saya berkesempatan melawat Pusat Internet Rantau Panjang bagi meninjau program kelolaan pusat berkenaan. Sewaktu di sana, saya turut beramah mesra dengan beberapa usahawan yang mempamerkan produk mereka seperti manik, kraf tangan motif Sarawak, Monster Burger dan produk pertanian.

Hasil pemerhatian saya mendapati produk dipamerkan mempunyai potensi cukup baik untuk dikembangkan. Menerusi bimbingan dan strategi betul, saya yakin produk tersebut boleh dipasarkan secara meluas dan memberi pulangan yang lumayan kepada usahawan berkenaan, katanya.

Beliau berkata langkah itu akan mendorong lebih banyak agensi untuk mempertingkat perkhidmatan mereka untuk komuniti setempat seperti di Sibu dengan memanfaatkan kesalinghubungan Internet yang baik ke pusat Internet.

BERNAMA


Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...