EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Pulau Pinang pertimbang potong gaji Adun bantu tangani #covid19

0 month ago, 20-Nov-2020


Kerajaan negeri Pulau Pinang sedia mempertimbangkan saranan pemotongan gaji ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi menangani cabaran berdepan pandemik COVID-19.


Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri telah melaksanakan langkah sama pada April lepas dengan pemotongan sebulan gaji exco ketika itu untuk disumbangkan kepada Tabung COVID-19 negeri.


Malah, beliau berkata semua ADUN termasuk dari parti pembangkang sebulat suara menyumbang 30 peratus daripada gaji mereka untuk tabung berkenaan.


"Pada April lepas, semua exco negeri telah menderma satu bulan gaji. Kami tidak cakap kosong, tetapi kami menyumbang. Begitu juga dengan semua ADUN sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang, mereka turut menderma gaji mereka bagi meringankan beban rakyat yang terkesan.


"Jadi, untuk saranan ini (potongan bagi meringankan bebanan kerajaan negeri) kami bersedia untuk pertimbangkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Beliau diminta mengulas mengenai saranan dan langkah yang diambil oleh beberapa kerajaan negeri membuat pemotongan gaji dalam usaha mengurangkan bebanan kerajaan negeri.


Chow menjelaskan bahawa langkah pemotongan gaji sebelum ini dilakukan atas kesedaran daripada exco dan ADUN sendiri yang mahu menyumbang bagi membantu golongan terjejas, dan Pulau Pinang adalah antara negeri terawal mengambil langkah berkenaan.


"Menerusi sumbangan kepada tabung COVID-19 ini pelbagai bantuan dan keperluan dapat diberikan antaranya membeli peralatan perlindungan diri (PPE) serta  membantu golongan terkesan," katanya.


BERNAMA



SUMBER : penangkini.com



Live Website Traffic


loading...