EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Pulau Pinang akan naikkan kadar cukai taksiran sehingga 30%

0 month ago, 13-Sep-2019

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang akan menaikkan cukai taksiran dianggarkan sehingga 30 peratus yang dinilai mengikut kategori hartanah, bermula tahun depan.


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, berkata kenaikan itu berdasarkan kadar cukai taksiran sedia ada yang tidak disemak sejak 15 tahun lalu, selain peningkatan kos pengurusan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).


Kerajaan negeri pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 19 Julai lalu meluluskan permohonan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk menyemak semula Senarai Nilaian sedia ada yang berasaskan Nilai Tahunan pada 15 tahun lalu.

Dengan mengambil kira unjuran perbelanjaan kedua-dua PBT itu yang meningkat setiap tahun serta beban kewangan yang perlu ditanggung, MBPP dan MPSP perlu menaikkan pendapatan dan hasil cukai taksiran sebagai satu cara untuk meningkatkan pendapatan, katanya pada sidang di sini hari ini.

Jagdeep berkata, ketika ini, MBPP menanggung kos perbelanjaan pengurusan RM196.3 juta atau 291 peratus kenaikan berbanding 2005, manakala MPSP pula menanggung peningkatan kos perbelanjaan pengurusan RM107 juta atau 784 peratus berbanding 2005.

Berdasarkan kajian penilaian semula, Senarai Nilaian Baharu 2020 dijangka dapat meningkatkan pendapatan MBPP sebanyak RM54.3 juta dan RM39.7 juta bagi MPSP, katanya.

Mengulas lanjut, Jagdeep berkata, kenaikan kadar cukai taksiran yang baharu bergantung kepada kategori hartanah, lokasi dan saiz hartanah terbabit.

Contohnya, sebanyak 77 peratus pemilik kondominium di bawah pentadbiran MBPP perlu membayar sehingga RM50 kenaikan kadar penilaian, dengan baki daripadanya perlu membayar lebih RM50.

Penilaian ini adalah tertakluk kepada akta, di mana ia akan dinilai berdasarkan Nilai Tahunan hartanah terbabit. Nilai Tahunan itu pula adalah berdasarkan keluasan, lokasi, dan sebagainya.

Bagaimanapun, kenaikan ini lebih rendah berbanding di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Kota Kinabalu, katanya.

Jagdeep berkata, pemilik hartanah yang tidak berpuas hati dengan Senarai Nilaian Baharu 2020, berhak untuk membuat bantahan mengikut Seksyen 142 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Katanya, bantahan bertulis boleh dibuat kepada PBT masing-masing pada atau sebelum 14 Oktober ini.

Kedua-dua PBT itu juga sudah menghantar notis pemberitahuan kepada pemilik hartanah seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 141 Akta Kerajaan Tempatan 1976, dan maklumat lanjut boleh diperoleh di Aras 12, KOMTAR, dan Tingkat 10, Menara MPSP, katanya.


Berita Harian Online

SUMBER : penangkini.com



Live Website Traffic





www.edisiviral.com