EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Petanda nak 'pergi'

5 month ago, 13-Jan-2020

SEOLAH-olah mengetahui dirinya akan pergi, Tengku Muhamad Afiq Tengku Muhazan Shah dikatakan sudah menghantar pulang kelengkapan pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering, Kuala Terengganu.

Dia bawa pulang buku, peralatan tulis dan kelengkapan mandi ketika cuti sempena study week dua minggu lalu, kata ibunya Siti Fatimah Ismail, 47.

Tengku Muhamad Afiq, 20, lemas ketika mandi bersama rakan pengajiannya di Pantai Pandak, Chendering, dekat sini, kelmarin.

Mayat Tengku Muhamad Afiq ditemui jam 6.25 petang semalam kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang kelmarin, seramai 14 daripada 18 penuntut universiti itu dikatakan mandi sebelum tiga daripada mereka ditarik arus.

Seorang daripada mangsa Muhammad Nazrim Mat Asri, 20, berjaya diselamatkan, manakala seorang lagi iaitu Mohd Nor Hishamudin Nor Saidi, 21, turut lemas dalam kejadian itu. Mayatnya ditemui pada jam 9.50 malam kelmarin.

Menurut Siti Fatimah, dia mengakui pelik dengan sikap anak lelaki tunggal itu kerana sebelum ini tidak pernah membawa pulang kelengkapan pengajiannya ketika bercuti.

Apabila ditanya, dia beritahu akan ambil semula apabila mahu pulang ke kampus, tetapi saya tidak sangka ini rupanya petanda dia mahu meninggalkan kami, katanya ketika ditemui di Pantai Pandak, semalam.

SOLAT hajat memohon urusan pencarian dipermudahkan.

Katanya, Tengku Muhamad Afiq adalah anak ketiga daripada lima beradik dan seorang anak yang baik meskipun pendiam.

Kehilangannya sangat dirasai kerana dia satu-satunya anak lelaki saya, katanya.

Sementara itu, suaminya Tengku Muhazan Shah Tengku Mohammed, 46, berkata, dia bersama Siti Fatimah dan tiga anak mereka, Tengku Hannah Izzati, 22; Tengku Marsya Hadaina, 18, dan Tengku Junita Hanum, 16, bertolak dari Kota Bharu, Kelantan kira-kira jam 8 pagi semalam.

Kami bercadang untuk datang sebaik mendapat tahu berita itu (pada jam 7 malam kelmarin) namun terpaksa menunggu siang kerana isteri dan saya sendiri lemah dan hampir pengsan, katanya.

Tengku Muhazan Shah berkata, kali terakhir dia menghubungi anaknya pada Jumaat lalu, bertanyakan sama ada pulang atau tidak ketika cuti semester, namun tidak sempat berbual lama disebabkan panggilan terputus.

Katanya, dia cuba menghubungi anaknya semula selepas itu, tetapi gagal.

Satu upacara solat hajat turut diadakan di Pantai Pandak, Chendering, dekat sini, semalam yang turut disertai Tengku Muhazan Shah bersama 70 jemaah terdiri penuntut dan pengurusan UiTM serta penduduk kampung dengan diimamkan Pensyarah Bahasa Arab, Ahmad Fakhrul Azizi Abu Bakar, kira-kira jam 1.45 tengah hari.

Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, mayat Mohd Nor Hishamudin ditemui terapung satu kilometer dari lokasi kejadian oleh anggota yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

Katanya, operasi SAR membabitkan 43 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Tindakan Cemas Malaysia (PTCM), Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).


SUMBER : hmetro.com.my

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...