EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Pesara bisnes kelulut

0 month ago, 15-Sep-2020

Kerja-kerja menyedut madu kelulut memerlukan peralatan khas


Bersaiz kecil dengan warna kehitam-hitaman serta tidak mempunyai sengatan berbisa yang mendatangkan bahaya seperti lebah madu merupakan antara perbezaan ketara lebah kelulut dengan spesies lebah madu.

 

Lebah kelulut atau kelulut sahaja (juga digelar meliponini) ialah lebah tidak bersengat namun berupaya menghasilkan madu yang sama seperti lebah madu.

 

Dianggarkan hampir 500 spesies kelulut terdapat di seluruh dunia, antaranya termasuklah Geniotrigona thoracica, Heterotrigona itama, Lepidotrigona terminata, Tetragonula laeviceps dan Tetrigona apicalis.

 

Lebah kelulut dahulunya hanya bersarang di pangkal-pangkal pokok jauh di dalam hutan. Namun selepas khasiat madunya dikenali ramai spesies lebah kelulut ini mula dicari ramai untuk tujuan penternakan komersial.

 

Madu kelulut yang dikatakan mempunyai pelbagai khasiat serta berupaya membantu mengurangkan penyakit asma serta selesema dan mudah diternak menjadikan lebih ramai pengusaha madu kelulut muncul.

 

Menyedari potensi penternakan madu kelulut menjana pendapatan, seorang pesara kakitangan keselamatan Malaysia Airlines, Abdul Rahman Mad Taib, 73, memberanikan diri menceburi bidang penternakan lebah berkenaan sejak lima tahun lalu.

 

 

Abdul Rahman Mad Taib menunjukkan sarung muka khas yang perlu dipakai jika melakukan aktiviti menuai madu kelulut.

 

Bermula dengan hobi, Abdul Rahman kini mempunyai kira-kira 30 sarang lebah kelulut yang mampu menghasilkan lebih 10 kilogram madu dalam semusim.

 

Katanya, lebah kelulut yang mudah dijaga dan tidak memerlukan kos yang tinggi adalah antara sebab dia mampu bertahan lama sebagai pengusaha dan penternak lebah kelulut.

 

Pada mulanya saya beli sarang lebah kelulut daripada seorang rakan di Bangi.

 

Lama kelamaan saya dapati hutan-hutan kecil di sekitar rumah saya juga mempunyai sarang kelulut, jadi saya ambil keputusan untuk mencari sendiri sarang hingga mempunyai 30 sarang pada masa ini, katanya ketika ditemui di Pondok Upeh, Balik Pulau, Pulau Pinang baru-baru ini.

 

Menurut Abdul Rahman, kesemua kotak sarang lebah kelulut miliknya juga dibina sendiri dengan kos yang minimum bagi memastikan sarang lebah tidak terkena air hujan serta diganggu makhluk perosak yang lain.

 

Lebah kelulut juga mempunyai musuhnya yang tersendiri seperti spesies larva black slodier fly, kumbang sab dan juga semut yang akan merosakkan sarang lebah.

 

Penternak perlu meninjau sarang lebah seminggu sekali bagi memastikannya sarang lebah tidak diganggu oleh makhluk perosak atau berdepan dengan kerugian akibat tiada madu dihasilkan.

 

Selain itu, madu yang diserang larva haiwan perosak akan dijangkiti kuman, jadi masam dan tidak selamat untuk dimakan, katanya.

 

Abdul Rahman berkata, setakat ini dia memilih menternak lebah kelulut dari spesies Heterotrigona itama kerana spesies ini mampu menghasilkan kadar madu yang tinggi dan mudah dijaga.

 

Walaupun kita tidak perlu memberi makanan kepada lebah kelulut ini tetapi pengusaha juga perlu membantu mendapatkan madu dengan menanam pokok yang sesuai berhampiran kotak sarang.

 

Saya menanam pokok limau, pokok belimbing, pokok bunga, durian, ceri dan pelbagai lagi untuk membantu lebah kelulut mendapatkan madu.

 

Cara ini dapat meningkatkan penghasilan madu di dalam kotak sarang, katanya.

 

Bapa kepada lima orang anak ini memberitahu, walaupun tidak mempunyai sengatan berbisa seperti lebah madu, lebah kelulut tetap akan mempertahankan sarang mereka daripada diceroboh dengan mengerumuni penceroboh sehingga melekat pada badan perosak tersebut.

 

Saya sendiri perlu memakai pakaian serta sarung muka khas yang diperbuat daripada jaring halus jika mahu menuai hasil madu.

 

Walaupun tidak menyengat, lebah kelulut akan melekat dan memasuki rongga badan seperti telinga dan hidung jika sarangnya diceroboh, katanya yang tidak mendapat sebarang bantuan daripada mana-mana agensi kerajaan.

 

Sudah ada pelanggan sendiri

 

Abdul Rahman Mad Taib memberitahu, produk madu lebah kelulut yang diusahakannya itu tidak ada masalah mendapat pelanggan.

 

Madu lebah yang saya jual adalah asli tanpa sebarang campuran gula atau air.

 

Ia dijual dengan kapasiti seberat 125 gram dan 500 gram.

 

Setakat ini produk madu kelulut asli keluaran saya boleh didapati di sekitar Pulau Pinang dan juga Kuala Lumpur, katanya.

 

Tambah beliau, produk madu kelulut sentiasa mendapat permintaan di pasaran tempatan memandangkan khasiatnya yang tersendiri.

 

Madu kelulut mempunyai rasa sedikit masam dan rasanya juga bergantung kepada makanan atau debunga di sekeliling sarang lebah kelulut.

 

Kandungan antioksidan dan manfaat vitamin C yang terdapat pada madu kelulut juga baik untuk mengatasi selesema dan demam menjadi antara penyebab madu kelulut ini sentiasa dicari ramai, katanya.

 

-UTUSANMALAYSIA


SUMBER : penangkini.com

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...