EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Perut siapa paling buncit?

0 month ago, 06-Nov-2019

BERJALAN seperti model sambil memperagakan perut buncit. Bunyi agak aneh tetapi itulah realiti menerusi Pertandingan Perut Buncit Bergaya yang akan diadakan awal Disember ini.

Menerusi pertandingan itu, peserta lelaki hanya perlu catwalk bergaya, menampilkan perut buncit dan berpakaian menarik sebagai syarat utama memenangi pertandingan.

Penganjur yang juga ahli perniagaan, Alex Soh, 44, berkata, pertandingan unik itu bakal diadakan di Kompleks Sukan Beaufort, Sabah dengan sasaran penyertaan 50 orang pada 1 Disember ini.

Lelaki perut buncit juga mahu pengiktirafan seperti pertandingan ratu cantik atau bina badan yang selalu menjadi rebutan penyertaan.

Idea di sebalik pertandingan ini adalah bagi meraikan mereka yang mempunyai perut buncit dan wanita seharusnya bangga mempunyai pasangan seperti ini.

Disebabkan itu saya mengadakan pertandingan unik ini bagi memberi pengiktirafan kepada mereka, katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, setakat ini dia menerima 10 penyertaan daripada lelaki perut buncit dan mengharapkan lebih ramai dengan ciri-ciri sama tampil bagi memeriahkan pertandingan.

Menggunakan tema Jangan Malu, Jangan Segan, saya mengharapkan penyertaan daripada ramai pihak terutama dari Semenanjung, setakat ini yang berdaftar dengan saya peserta sekitar Sabah saja.

Syarat penyertaan peserta mesti berusia 30 tahun ke atas dan mempunyai perut buncit, tidak kisah saiz pinggang berapa asalkan kita boleh nampak perutnya, katanya.

Kain rentang pertandingan perut buncit yang akan dianjurkan bulan depan. FOTO Ihsan Alex Soh

Ditanya bagaimana pemenang akan dinilai, Alex berkata, peserta diadili dua pengadil yang menilai peserta catwalk paling bergaya, wajib mempunyai perut buncit dengan pakaian menarik.

Peserta perlu catwalk dengan bergaya di depan 3,000 hingga 4,000 penonton.

Mereka yang menerima sorakan paling kuat daripada penonton juga akan menerima markah lebih dengan pakaian menarik.

Ibaratnya seperti pertandingan ratu cantik tetapi peserta kali ini terdiri daripada lelaki perut buncit.

Yuran penyertaan hanya RM35 dan peserta berpeluang membawa pulang wang tunai RM400 untuk tempat pertama seterusnya RM300 di tempat kedua manakala RM200 tempat ketiga diiringi sijil penyertaan, katanya.

Katanya, pertandingan itu bakal mendapat liputan meluas dari media antarabangsa yang tertarik dengan keunikan acara itu sekali gus mengharumkan nama Malaysia.


SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic


loading...