EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Pertahan lagu klasik

0 month ago, 12-Oct-2019

PENYERTAAN peserta berusia 16 tahun, Siti Erinshahira Jamaludin sebagai finalis Kemuncak Bintang Klasik 2019 menjadi bukti stesen radio Klasik Nasional bukan saja diminati pendengar berusia.

Erin bersama tujuh peserta lain iaitu Ahmad Marzuki Nor-din, 18, Siti Nur Shazreen Shaharum, 23, Siti Nadia Zaini, 26, Nur Hijrah Yahya, 28, Noorhidayah Halim, 28, Ahmady Mohd Spuan, 29, dan Nabilah Mohammad, 30, akan bersaing merebut gelaran juara dalam pertandingan yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri jam 9 malam esok.

Mereka disaring daripada keseluruhan 100 peserta dari seluruh negara. Erin berkata, minat untuk mendengar Klasik Nasional didorong ibunya.

Ibu selalu mendengar stesen radio itu dan apabila mendengar lagu yang dimainkan, saya pun turut berminat.

Lagu klasik sangat indah daripada segi nyanyian dan muzik. Kita perlu menyanyi dalam nada yang lembut dan tertib.

Nyanyiannya tak perlu lantang kerana orang dulu-dulu pentingkan kemerduan suara selain irama yang sedap," katanya.

Pendapatnya turut disokong Nabilah yang berpengalaman menyertai pelbagai pertandingan lain sebelum ini.

Baginya, lagu klasik perlu dipertahankan sebagai khazanah negara.

Kalau tak dikenali oleh golongan berusia 30-an ke bawah, bagaimana lagu ini dapat bertahan untuk tempoh 10 atau 20 tahun akan datang?

Menjadi tanggungjawab semua pihak terutama kami untuk menaikkan semula lagu begini supaya diterima oleh muda. Saya setuju jika ada usaha pembaharuan untuk lagu klasik, tapi janganlah lari dari bentuk asal. Kalau boleh biarlah lebih bagus, katanya.

Dalam pada itu, dua lelaki yang berjaya ke final pula perlu membuktikan kredibiliti mereka untuk bersaing dengan enam peserta wanita.

Ahmady berkata, dia mempertaruhkan bakatnya kerana meminati lagu klasik sepenuh hati.

Saya melihat lirik lagu klasik mudah meresap dalam jiwa. Cinta terhadap lagu klasik bermula pada 2010 di mana saya menyanyikan lagu Kau Pergi Tanpa Relaku.

Sebenarnya ramai juga peserta lelaki yang menyertai peringkat saringan tapi gagal ke pentas final. Saya sendiri pernah cuba nasib pada 2010 tapi gagal. Namun, saya tak putus asa dan terus mencuba kali ini. InsyaAllah saya akan buat yang terbaik," katanya.

HAD UMUR DITURUNKAN

Sementara itu, Penerbit Kemuncak Bintang Klasik 2019 Yusmawati Yunos berkata, pihaknya melakukan beberapa perubahan untuk memberikan dimensi baharu terhadap pertandingan ini.

Kali ini, had umur penyertaan asal dari 16 hingga 35 tahun diturunkan kepada 16 hingga 30 tahun saja. Ia dibuat bermatlamat untuk mencari bakat lebih muda yang boleh mewarisi lagu lama.

Bintang Klasik yang memasuki edisi kelapan ini bertujuan meluaskan pasaran mencari bakat muda yang boleh menyanyikan lagu irama Melayu Klasik dan malar segar, katanya.

Menurutnya, kelainan yang dibuat turut menyaksikan peserta perlu menyanyikan lagu berlainan jantina daripada penyanyi asal selain turut memperkenalkan segmen battle di pusingan kedua.

Mereka perlu menyanyikan dua lagu iaitu lagu pilihan sendiri untuk persembahan solo, manakala di pusingan battle mereka perlu menyanyikan lagu yang dipilih oleh pihak produksi.

Ia mencabar kerana kita dengar seperti mudah menyanyikan lagu klasik, tapi sebenarnya sukar nak dibawakan kerana mudah sumbang.

Lagu klasik ada teknik nyanyian tersendiri. Itu sebabnya ramai peserta lelaki gagal dipilih kerana kekurangan dari aspek kemerduan suara, katanya.

Juara pertandingan ini akan membawa pulang wang tunai RM30,000, tempat kedua RM20,000 dan tempat ketiga RM10,000.

Peserta lain akan menerima sagu hati RM2,000, manakala persembahan terbaik bakal memenangi wang tunai RM5,000.

Awal Ashaari dan Amelin Idrus akan bergandingan sebagai pengacara serta turut diserikan dengan persembahan Siti Nordiana, Syafiq Farhain, Naim Daniel, Rahimah Rahim, Azharina Azhar dan bekas-bekas juara Bintang Klasik atau Bintang Nasional, antaranya Alif Kadim, Anas Farhan dan Rizal Ahmad.

Kemuncak Bintang Klasik 2019 akan disiarkan secara langsung menerusi TV1 serta boleh diikuti secara atas talian melalui MyKlik dan Radio Klasik.


SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic


loading...