EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

PEROMPAK TERTIDUR DALAM KERETA DIBERKAS

0 month ago, 26-Nov-2021

MELAKA: Seorang perompak diberkas selepas tertidur dalam kereta yang dipandunya semasa menunggu dua lagi rakan jenayah melarikan barangan sebuah rumah di Jalan Mangga 2, Taman MGBM Bachang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata, suspek berusia 30 tahun itu berjaya dicekup dengan bantuan orang awam.

Menurut laporan polis yang dibuat pengadu, rumah tersebut merupakan milik arwah ibunya dan kejadian pecah masuk berkenaan dimaklumkan oleh jiran kira-kira jam 5 petang.

Pengadu bersama kakak dan abang iparnya bergegas ke rumah tersebut dan setiba di lokasi mereka menjumpai seorang lelaki sedang tidur dalam kereta jenis Hyundai Sonata di belakang rumah berkenaan.

Pengadu bertindak mematikan enjin dan mengambil kunci kereta tersebut, katanya.

Afzanizar berkata, suspek berkenaan berjaya ditangkap dengan bantuan jiran dan dipercayai dalam keadaan khayal bawah pengaruh dadah.

Tambahnya, pengadu kemudian ternampak pintu bahagian dapur rumah terbabit dalam keadaan terbuka dan dua lelaki dilihat sedang cuba melarikan sebuah televisyen.

Menyedari kehadiran pengadu, kedua-dua suspek bertindak melarikan diri.

Hasil pemeriksaan, barang-barang yang hilang adalah sebuah kamera lama beserta beg coklat dengan anggaran kerugian RM300, katanya.

Suspek yang dicekup telah diserahkan kepada pihak polis dan ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. 

Sementara Pasukan khas Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah telah digerakkan bagi mengesan dan menangkap dua lagi suspek yang disyaki terlibat dalam kes pecah rumah berkenaan.AlHijrah Online



SUMBER : alhijrahnews.com



Live Website Traffic


loading...