EdisiViral.Com Search Guest Post Login

'Tak perlu terbuka sangatlah'

0 month ago, 12-Oct-2019

SEGELINTIR artis tempatan lebih selesa berkongsi masalah atau perbalahan dalam rumah tangga mereka di Instagram sejak kebelakangan ini.

Lebih teruk, masalah rumah tangga artis terbabit bukan saja diperkatakan ramai, tetapi turut menjadi perbalahan hangat dalam kalangan netizen.

Persoalannya, adakah sikap keterbukaan artis berkongsi isu rumah tangga mereka di laman sosial sesuatu yang positif pada industri hiburan tanah air?

Malah, ada pihak menganggap sikap keterbukaan artis itu memberi kesan buruk terhadap imej artis pada mata masyarakat.

Tiga artis yang ditemu bual mengakui sikap segelintir artis berkongsi isu rumah tangga memberi impak negatif dalam industri hiburan tanah air.

Sewajarnya, sebagai ikon kepada masyarakat, artis sepatutnya berkongsi perkembangan karier seni dan perniagaan diceburi sekali gus perkara yang positif kepada pengikut di laman sosial masing-masing.

Mila Jirin (Penyanyi)

Ia bukanlah sesuatu yang positif kerana melemparkan kemarahan, saling mengutuk dan menuding jari di laman sosial tidak akan dapat menyelesaikan masalah, sebaliknya akan menambah kemarahan dan campur tangan banyak pihak.

Disebabkan media sosial adalah laman terbuka, ia menyebabkan lebih ramai yang mengetahui segala hal dalaman dan akan timbul pelbagai spekulasi tambahan dan komen negatif daripada netizen serta orang luar.

Sebaik-baiknya konsep musyawarah diperlukan secara bertentang mata atau perbualan peribadi supaya permasalahan dapat diselesaikan dengan cara terbaik mengikut hukum ditetapkan.

Ia bukan hanya pada selebriti, malah kepada semua orang tidak kiralah apa saja pangkat atau status.

Dalam kehidupan seharian, kita perlu menggunakan media sosial dengan bijak dan meletakkan batasan apa yang boleh dikongsi dan tidak di laman sosial.

Apatah lagi ia membabitkan hal rumah tangga, aib suami atau isteri, maruah keluarga yang menjadi tanggungjawab kita untuk menjaganya daripada menjadi bahan ketawa mahupun sindiran netizen kepada kedua-dua pihak.

Sudah semestinya akibat daripada perbuatan berkongsi segala jenis maklumat permasalahan hal dalaman rumah tangga ini memberikan impak negatif kepada imej seseorang artis itu.

Ashraf Muslim (Pelakon)

Segala masalah dalam hubungan suami isteri atau keluarga tidak perlu dihebahkan kepada masyarakat. Lebih baik masalah rumah tangga diselesaikan dengan perbincangan bersama ahli keluarga dan seterusnya kepada pihak berkaitan.

Artis tidak perlu berkongsi masalah rumah tangga mereka dengan netizen kerana ia bukan saja membuka aib rumah tangga malah semakin memburukkan keadaan. Perbalahan dalam rumah tangga perkara biasa dalam merapatkan lagi hubungan suami isteri.

Artis juga sepatutnya berkongsi perkara yang baik dan positif kepada peminat sekali gus sama-sama membantu perkembangan industri hiburan tanah air.

Mereka sewajarnya menggunakan platform media sosial untuk menyampaikan mesej positif sekali gus perkembangan karier seni dan perniagaan diceburi.

Sikap keterbukaan artis berkongsi isu rumah tangga juga memberi impak negatif kerana boleh menimbulkan prasangka buruk dan 'hater' juga meningkat. Ada perkara yang artis boleh kongsi dengan peminat dan ada yang tidak perlu untuk kebaikan mereka sendiri.

Betty Banafe (Pelakon)

Isu rumah tangga tidak boleh dikongsi di laman sosial kerana apa yang berlaku dalam rumah tangga kita hanya pasangan suami isteri itu saja perlu tahu.

Apabila berdepan masalah rumah tangga, mereka sepatutnya mencari jalan untuk menyelesaikan perkara itu dengan berkomunikasi, sabar, berdoa dan mendekatkan diri dengan Allah.

Saya sendiri pernah mengalami kemelut rumah tangga, tetapi tidak ada rakan artis yang rapat pun dapat menghidu perkara itu sehinggalah berkongsi berita perceraian.

Jika kita masih ada hati pada suami, jangan buat perkara yang bodoh dengan memisahkan hubungan bapa dengan anaknya kerana mereka tidak bersalah.

Jika kita mahukan perceraian, lakukan dengan cara yang waras dan tidak memalukan pasangan. Jika kita membuka aib pasangan, Allah akan membuka 10 aib kita di akhirat kelak.

Sebagai umat Islam, kita ada Allah tempat mengadu dan berfikir dari sudut yang positif. Ingatlah, jika ada jodoh, tidak akan ke mana kerana Allah yang akan menentukan apa yang terbaik buat kita.

Artis juga tidak sempurna kerana mereka juga melakukan kesilapan. Sikap ego segelintir artis yang memiliki pengikut yang ramai di laman sosial mendorong mereka membuka aib sendiri dengan berkongsi isu rumah tangga.

Setiap masalah yang kita hadapi juga ada jalan keluar dengan mencari keredaan Allah. Sewajarnya, sikap keterbukaan artis itu perlu dikawal dan hanya berkongsi perkara yang baik saja dengan pengikut mereka di laman sosial.


SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic


loading...