EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Ibu bapa perlu didik anak lelaki melakukan kerja rumah supaya kelak tahu cara mengurus rumah tangga

3 month ago, 10-Jul-2019

Mendidik anak-anak bukan satu tugas yang mudah. Tidak kira anak lelaki atau perempuan, ibu bapa perlu mendidik mereka menjadi insan yang berguna dan tahu akan tanggungjawab masing-masing ketika mereka dewasa kelak terutama selepas berumah tangga.

Ramai ibu bapa sering mengamalkan sikap berat sebelah ketika memberi didikan kepada anak lelaki kerana takut apabila mereka diajar melakukan kerja rumah misalnya, maka anak ini akan bertingkah laku seperti perempuan. Satu pandangan stereotaip yang dianggap sudah ketinggalan zaman.

Ariff Ismail/Facebook

Ternyata sikap ini perlu diubah kerana anak lelaki juga perlu didedahkan dengan ilmu rumah tangga supaya di masa hadapan mereka tidak mempunyai masalah untuk hidup berdikari dan tidak akan terus bergantung dengan meminta pertolongan ibu bapa atau isteri walaupun ketika melakukan kerja rumah yang mudah.

Ikuti perkongsian Ariff Ismail tentang cara mendidik anak lelaki dengan belajar mengurus rumah tangga bermula seawal usia muda.

Ariff Ismail/Facebook

Kini kita perlu mengubah cara didikan anak lelaki. Jangan letak dalam pemikiran bahawa anak lelaki tidak perlu tahu cara mengurus rumah tangga. Benda yang boleh kita ubah, kita patut ubah. Sudah cukup apabila golongan bapa zaman sekarang ini tidak tahu buat apa-apa.

Kita ajar cara urus rumah tangga bukan mahu ajar anak lelaki jadi pondan. Tidak salah mengajar anak lelaki ilmu memasak, mengemas dan mengurus rumah. Jika mereka tahu membuat kerja rumah, ibu bapa juga yang akan senang.

3 CARA MENDIDIK ANAK LELAKI MENGURUS RUMAH TANGGA.

1. KEMAS RUMAH

Flickr/Gambar Hiasan

Perkara paling asas perlu dididik sejak kecil, ajar anak lepas makan perlu basuh pinggan, lepas mandi kena masukkan baju dalam bakul, lepas main kena kemas barang, susun semula barang di tempatnya.

Biasa menjadi resam anak lelaki, selepas main dan makan, dia tinggal sahaja. Selepas mandi, baju bersepah. Bilik tidurnya, selimut tidak kemas, cadar di katil tidak dibetulkan.

Sikap jadi manja bagai raja ini boleh diubah. Jika kita ajar anak lelaki sejak kecil sampai dewasa, maka mereka jadi terbiasa dan akan ikut.

Ariff Ismail/Facebook

Bila hujung minggu, beri galakan kepada anak untuk bergotong royong dengan basuh bilik mandi dan tandas, sapu rumah dan mop lantai. Jangan manjakan anak-anak dengan ibu bapa yang jadi kuli mereka.

2. PERGI PASAR

Flickr/ Gambar Hiasan

Kenalkan barang basah dan kering kepada anak. Jangan fikir mudah bahawa anak kecil lagi jadi tidak perlu tahu itu semua. Kalau kita fikir macam itu, memang sampai besar pun dia tidak akan tahu.

Ajar anak beli ikan dan sayur di pasar. Macam mana mahu kenal pasti sama ada ikan itu masih segar atau tidak. Tunjukkan jenis dan nama ikan itu kepada mereka, tidaklah apabila mereka besar nanti, suruh beli ikan kembong, dia bawa balik ikan selar.

3. MASAK

Pinterest/Gambar Hiasan

Bab ini sangat penting untuk ajar anak kita. Ajar mereka masakan asas yang mudah diingati. Ajar macam mana cara goreng ikan, goreng nugget dan masak nasi goreng. Benda paling ringkas ialah perlu ajar anak-anak masak nasi dan goreng telur.

Bukan kita perlu ajar anak ini masak nasi beriyani pun. Bila ajar masak kenalkan kepada anak lelaki anda jenis bawang, garam, gula, kunyit dan lain-lain rempah. Bila kita sudah ajar perkara asas memasak ini, tiadalah nanti bila kita bekerja di luar kawasan, anak duduk di rumah makan mi segera.

Mudah sahaja didik anak lelaki ini supaya menjadi lebih bertanggungjawab dan tahu mengurus rumah tangga. Ajar mereka 3 cara didikan di atas, jangan hanya fokus mengajar anak perempuan sahaja. Ini hal penting sebab ia membantu kita mengurus rumah.

Ariff Ismail/Facebook

Teringat zaman kecil dahulu, saya merungut dengan arwah emak apabila disuruh masuk dapur, ikut pergi pasar dan belajar memasak. Apabila sudah dewasa, baru saya tahu inilah ilmu paling berharga yang pernah diajar oleh emak. Terima kasih mak atas didikan yang diberi.

Dalam keluarga saya, memang tidak kira lelaki atau perempuan semua kena buat kerja rumah. Gambar di atas ialah anak saudara saya yang baru berusia 12 tahun tetapi sudah boleh memasak di dapur, mengemas rumah, dan menjaga adik.

: Ariff Ismail/Facebook

Ibu bapa perlu didik anak lelaki melakukan kerja rumah supaya kelak tahu cara mengurus rumah tangga Era Baru Malaysia.


SUMBER : erabaru.com.my



Live Website Traffic


loading...