www.edisiviral.com

Berita dan informasi edisi viral di Malaysia.


Perlu bersara atau tidak?

0 month ago, 07-Nov-2018


KUALA LUMPUR: Selepas beberapa bulan mengunci mulut, bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei akhirnya akan mengadakan sidang media istimewa di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, esok.

Apakah sebabnya? Tiada siapa mengetahui tetapi spekulasi sama ada dia akan terus bermain atau mengumumkan persaraan terhadap kariernya selepas 19 tahun, pasti akan terjawab.

Pemain berusia 36 tahun itu, yang menjadi pemain nombor satu negara didiagnosis menghidapi kanser hidung tahap awal pada tahun ini dan hanya kembali ke Malaysia pada Oktober lalu selepas menjalani rawatan di Taiwan selama lebih dua bulan.

Sekalipun tindak balas dia terhadap rawatan lancar, tiada siapapun boleh memastikan sama ada mereka akan dapat melihat aksi Chong Wei sekali lagi.

Ramai yang mengatakan sama ada pemain kelahiran Bagan Serai Pulau Pinang itu adalah seorang pejuang dan akan kembali bangkit seperti yang dilakukannya sebelum ini beberapa kali termasuk ketika dipalit isu skandal doping pada 2014.

Tetapi adakah situasi kali ini sama? Jika diimbas, sepanjang ketiadaannya, pemain muda seperti bintang Jepun, Kento Momota, jaguh Denmark, Viktor Axelsen dan pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting serta Jonatan Christie sudah mencapai prestasi di tahap tertinggi.

Persoalannya adakah Chong Wei di usia 36 tahun masih mampu menyaingi pemain ini?

Juara dunia lima kali dari China, Lin Dan yang juga seteru utama Chong Wei sudah dua kali tewas kepada Momota tahun ini selain di tangan beberapa pemain muda Jepun dan India yang sebelum bukan tandingannya dua tahun lalu.

Saya tiada hak untuk memberi pendapat mengenai masa depan Chong Wei atau membuat keputusan untuknya, tetapi selepas beberapa tahun mengenalinya secara peribadi, saya akan menghormati setiap keputusan yang diambilnya esok.

Secara peribadi, saya percaya sudah banyak yang disumbangkan beliau untuk negara dan mungkin ini masa yang tepat untuknya mengucapkan selamat tinggal, tetapi jika beliau membuat keputusan untuk kekal, siapakah kita untuk menghalangnya?

Kepada Raja Siri Super, Malaysia tabik anda!


SUMBER : hmetro.com.my


Tags

Travel New York London IKEA NORWAY DIY Ideas Baby Family News Clothing Shopping Sports Games

Popular Posts


Related Posts