EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Perletakan Jawatan Menteri-Menteri Umno: Perdana Menteri Lebih Fikirkan Kepentingan Rakyat Dan Negara Berbanding Kepentingan Politik

0 month ago, 03-Apr-2021

Banyak pihak yang cintakan kestabilan politik negara merasa amat bimbang dengan kelangsungan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ekoran tindakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 28 Mac lalu yang meluluskan ketetapan tidak akan bersama dengan BERSATU dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) serta memberikan mandat kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk menentukan jeda masa untuk Ahli-Ahli Parlimennya menarik diri daripada kerajaan.

Seperti dinyatakan oleh Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, terdapat cadangan daripada perwakilan negeri dalam PAU supaya penarikan diri daripada kerajaan ini dibuat pada bulan Ogos 2021 iaitu sebaik sahaja Proklamasi Darurat berakhir dan ini diulangi juga oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, dalam ucapan penggulungan beliau atas alasan penarikan diri dalam tempoh darurat tidak akan menjejaskan kedudukan kerajaan.

Walaupun penarikan diri ini dijangka hanya akan dibuat pada bulan Ogos 2021, tetapi wujud pelbagai gesaan, khususnya daripada dalam UMNO sendiri, supaya Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang memegang jawatan sebagai Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi atau Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Badan-Badan Berkanun meletakkan jawatan mereka sesegera mungkin kerana dikatakan menjadi tanggungjawab moral mereka berbuat demikian selaras dengan keputusan PAU.

Rasional yang diberikan adalah, walaupun PAU itu sendiri tidak membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan mereka selaku Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi atau ALP Badan-Badan Berkanun, tetapi mereka akan sukar untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan berkesan di dalam kerajaan disebabkan nada negatif yang diluahkan dalam PAU terhadap BERSATU yang diketuai oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Difikirkan bahawa bagaimana mungkin Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri UMNO akan dapat bekerja secara selesa dengan rakan-rakan sejawatan mereka dari BERSATU ekoran pelbagai kritikan yang dihamburkan oleh Presiden, Timbalan, Naib-Naib Presiden, Ketua-Ketua Sayap dan perwakilan-perwakilan UMNO dalam PAU yang baru berlalu ke atas BERSATU, apa lagi bila ada di kalangan pemimpin BERSATU turut mencabar mereka meletakkan jawatan.

Begitupun, syukurlah kerana Menteri-Menteri UMNO yang seramai sembilan orang itu menghormati kedudukan Perdana Menteri selaku ketua mereka serta menemui beliau kelmarin untuk meminta nasihat beliau mengenai kedudukan mereka di dalam Kabinet berikutan keputusan PAU bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan BERSATU dalam PRU-15 dan, atas nasihat Perdana Menteri, kesepakatan dicapai bahawa semua Menteri UMNO akan terus kekal berada di dalam Kabinet.

Sesungguhnya tindakan Menteri-Menteri UMNO ini adalah satu perkara yang sangat terpuji kerana meletakkan kepentingan rakyat dan negara lebih tinggi daripada kepentingan parti, apatah lagi bila sebahagian daripada mereka, khususnya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Kanan (Keselamatan)), Datuk Seri Dr Adham Baba (Menteri Kesihatan) dan Khairy Jamaluddin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), merupakan tenaga penting di dalam usaha menangani pandemik Covid-19.

Sekiranya Menteri-Menteri UMNO ini mengambil tindakan meletakkan jawatan beramai-ramai bagi menyahut kehendak suara-suara lantang di dalam PAU yang mahukan mereka berbuat demikian dan bagi diselaraskan dengan pemutusan hubungan dengan BERSATU dalam PRU-15 maka pastilah tumpuan kerajaan untuk memerangi COVID-19, melaksanakan program imunisasi kebangsaan dan memulihkan ekonomi negara akan terencat kerana Menteri-Menteri baru terpaksa bermula dari titik kosong.

Sekiranya pertimbangan politik yang menjadi perkiraan Perdana Menteri maka tentulah beliau akan meminta Menteri-Menteri UMNO ini meletakkan jawatan dan memberikan jawatan-jawatan mereka kepada Ahli-Ahli Parlimen dari BERSATU atau parti-parti komponen PN yang lain bagi mengukuhkan sokongan rakyat kepada PN kerana perletakan jawatan mahupun penarikan diri mereka daripada kerajaan langsung tidak akan menggugat kedudukan kerajaan sehinggalah tempoh Proklamasi Darurat berakhir.

Tetapi Perdana Menteri juga lebih memikirkan kepada kepentingan rakyat dan negara berbanding kepentingan politik kerana beliau tidak mahu perletakan jawatan Menteri-Menteri UMNO ini dari Kabinet menjejaskan segala perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara dan dengan kesepakatan ini maka beliau mampu memberi jaminan bahawa Kabinet akan berfungsi seperti biasa dan segala inisiatif kerajaan akan terus dilaksanakan seperti yang dirancang.

Masa sama, Menteri-Menteri UMNO ini, mahupun Timbalan-Timbalan Menteri dan Pengerusi-Pengerusi atau Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Badan-Badan Berkanun UMNO, juga perlulah memahami prinsip pertanggungjawaban bersama (collective responsibility) dan prinsip kerahsiaan (secrecy) di dalam melaksanakan tugas mereka kerana kita tidak mahu nantinya terjadi nanti keadaan di mana mereka tidak mempertahankan keputusan bersama atau membocorkan rahsia kerajaan untuk kepentingan parti.

Mereka seharusnya sentiasa memasakkan di dalam dada mereka sumpah jawatan, sumpah setia dan juga sumpah simpan rahsia yang mereka lafazkan sewaktu mereka mula-mula memegang jawatan, iaitu untuk menunaikan kewajipan-kewajipan jawatan dengan segala daya upaya mereka, untuk menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya serta untuk tidak memberitahu atau menzahirkan kepada mana-mana orang rahsia-rahsia kerajaan.

Satu lagi perkembangan amat signifikan lain yang turut berlaku semalam ialah pengumuman bersama Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, mengenai persetujuan BERSATU dan PAS untuk terus mengukuhkan kerjasama erat mereka dalam PN bagi menghadapi PRU-15 dengan menubuhkan suatu Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat Pusat bagi merangka strategi dan halatuju kedua-dua parti khusus bagi menghadapi PRU-15.

Selaku induk utama dan pengasas bersama PN, persetujuan BERSATU dan PAS untuk bermesyuarat sesama mereka terlebih dahulu bagi bagi merangka strategi pilihan raya, termasuk rundingan pengagihan kerusi, sebelum membawanya ke Mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk dimuktamadkan secara kolektif di kalangan semua parti-parti komponen sudah pastilah akan mampu memberikan keyakinan kepada umat Melayu Islam khususnya betapa PN adalah satu gabungan yang akan mampu menjaga kepentingan mereka.

Pengukuhan kerjasama antara BERSATU dan PAS ini pastinya akan menjadi satu tamparan kepada para pemimpin UMNO yang di dalam PAU baru-baru ini memberikan kata dua kepada PAS untuk tidak lagi bermain di dalam dua kolam dengan membuat pilihan antara BERSATU dan UMNO, apatah lagi bila kedua-duanya mengambil pendekatan berbeza daripada UMNO dengan bertegas menolak sebarang bentuk 'penjajaran baharu untuk menubuhkan kerajaan pasca-PRU15, terutama yang melibatkan PH dan sekutunya.

Dr Nik Mawardi Mohamed adalah Pensyarah Pusat Pengajian Jarak Jauh (PACE) Universiti Utara Malaysia (UUM).


SUMBER : 1media.my



Live Website Traffic


loading...