EdisiViral.Com Search Guest Post Login

FAM perkasa Bandar Bola Sepak

0 month ago, 12-Sep-2019

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, hari ini mengetuai delegasi FAM meninjau tapak pusat latihan kebangsaan dan ibu pejabat baharu badan induk itu yang dicadangkan menjadi sebahagian daripada bandar bola sepak di Presint 5, Putrajaya.

Delegasi yang turut dianggotai ahli jawatankuasa eksekutif FAM memulakan tinjauan dengan lawatan ke tapak seluas 5.3 hektar yang bakal dijadikan Pusat Latihan Kebangsaan FAM selepas diwartakan sebagai padang untuk bola sepak oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Perbadanan Putrajaya.

Tujuan utama pembinaan pusat latihan berkenaan adalah menyediakan kemudahan latihan bertaraf dunia menepati tuntutan moden bertujuan memberi suasana prestasi tinggi demi kegunaan pasukan elit tanpa mengetepikan komuniti Putrajaya.

Menurut Hamidin, sejajar hasrat Perbadanan Putrajaya untuk membuka pusat latihan kepada masyarakat setempat, FAM bercadang menggunakan kaedah guna sama selain menimbang kemungkinan membina taman rekreasi untuk kegunaan penduduk setempat di Putrajaya.

Langkah ini sejajar dengan kedudukan Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Negara dan juga menepati hasrat Kerajaan menjadikan Presint 5 sebagai pusat sukan menerusi kewujudan Bandar Bola Sepak yang menempatkan ibu pejabat baharu FAM sambil diapit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) serta sebuah stadium bola sepak moden, katanya.

Dalam lawatan itu, Naib Presiden Perancangan Bandar Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud, memberi taklimat dan penerangan terperinci mengenai pembangunan bandar bola sepak di Presint 5.

Turut hadir, kedua-dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi bersama barisan exco FAM dan Setiausaha Agung, Stuart Ramalingam.

Berdasarkan tinjauan terbabit, FAM berpuas hati dengan susun atur serta pelan cadangan yang dikemukakan oleh pihak Perbadanan Putrajaya.

FAM juga mengambil kira tuntutan masyarakat setempat selain pentingnya sebuah stadium bertaraf antarabangsa yang boleh dijadikan gelanggang perlawanan antarabangsa, katanya.

Lawatan rasmi FAM kemudian diakhiri dengan tinjauan ke ibu pejabat AFF yang baharu.


SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic





www.edisiviral.com