EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Perkampungan Atas Air Sabah Terus Diancam Kebakaran

28 month ago, 01-Aug-2018

Angka Maut Kebakaran Greece Meningkat 91 Orang
Angka Kematian Kebakaran Di Greece 81 Orang
150 Rumah Musnah Dalam Kebakaran Di Likas
Lelaki Cedera Bot Kargo Berisi Tong Gas, Petrol Terbakar

KOTA KINABALU – Dua kebakaran yang memusnahkan kediaman di perkampungan atas air dalam masa hampir seminggu lepas menimbulkan persoalan. Sampai bilakah penduduk di kawasan itu perlu berdepan risiko kebakaran, yang berlarutan sejak sekian lama di Sabah.

Pada 24 Julai lepas, kebakaran memusnahkan kira-kira 150 rumah di perkampungan atas air Cenderamata II, Likas yang menyebabkan lebih 700 orang hilang tempat tinggal.

Semalam, kebakaran di Kampung Air Hujung Semporna di Semporna pula memusnahkan 302 rumah yang menyebabkan lebih 2,000 orang hilang tempat tinggal.

Kedua-dua kebakaran itu berlaku beberapa minggu selepas kebakaran melanda perkampungan atas air di Kampung Gas, Sandakan pada 27 Jun lepas yang mengakibatkan kira-kira 100 rumah musnah.

Statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menunjukkan sebanyak 41 kebakaran yang memusnahkan 1,585 rumah berlaku di perkampungan atas air di negeri ini sejak 2014.​​

Pada 2014, sebanyak sembilan kebakaran direkodkan dengan 49 rumah musnah, 2015 (tujuh kebakaran dan 380 rumah musnah), 2016 (12 kebakaran dan 392 rumah musnah) dan pada 2017 (sembilan kebakaran dan 364 rumah musnah).

Rentetan itu, ramai penduduk kawasan perkampungan atas air bimbang dengan kemungkinan berlakunya lagi kebakaran yang boleh mengancam kehidupan mereka.

BERTEBARAN

Lokasi beribu-ribu perkampungan atas air yang bertebaran di seluruh Sabah sebenarnya membimbangkan JBPM negeri itu.

JBPM Sabah mengklasifikasikan perkampungan atas air kepada tiga jenis – perkampungan air tradisi yang mempunyai pemilikan tanah sah dan dihuni oleh warganegara Malaysia; perkampungan air yang dibina secara haram oleh setinggan; dan perkampungan air pemilikan bersama antara penghuni sah dan setinggan haram.

“Tidak banyak perbezaan ciri perkampungan atas air ini sama ada di Semporna, Sandakan atau di Tawau. Maka, tidak mustahil bencana kebakaran seperti yang telah berlaku akan berulang secara berterusan ke kawasan-kawasan lain,” kata Pengarah JBPM Sabah Nordin Pauzi.

Beliau berkata kebakaran mudah berlaku kerana rumah-rumah perkampungan atas air dibina secara tidak terancang dan tidak tersusun.

“Tiadanya perancangan rapi bermakna langkah keselamatan tidak dipatuhi termasuklah risiko membabitkan kebakaran. Pemilihan bahan binaan, ketinggian struktur binaan, keluasan, susun atur rumah dibuat berdasarkan keperluan dan kehendak peribadi dan bukannya berasaskan kepada pematuhan kepada mana-mana undang-undang,” katanya.

Dan, pembinaan itu berleluasa kerana keperluan keselamatan kebakaran untuk pembinaan rumah milik peribadi di perkampungan atas air tidak termaktub dalam Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984.

Selain itu, pembinaan rumah dengan menggunakan 100 peratus kayu sebenarnya mendedahkan mereka kepada kebakaran.​​​​​​​

Begitu juga pembinaan jeti-jeti yang terdapat di sekitar perkampungan berkenaan.

“Pembinaan jeti dan laluan keselamatan perlu diberi perhatian kerana kebanyakan kebakaran turut memusnahkan jeti dan jambatan kayu yang menjadi laluan keselamatan. Ini​​​​​​​ membahayakan kerana kerana ia adalah laluan keluar masuk yang pastinya menyukarkan proses menyelamat dilakukan,” katanya.

HOLISTIK

Nordin berkata isu kebakaran perkampungan atas air perlu dilihat secara holistik oleh semua pihak bagi mengelak tragedi berkenaan terus berlarutan.

Ia merangkumi dasar pemilikan tanah atau hak persempadanan, kebenaran dan kawalan pembangunan, kewujudan kemudahan asas seperti elektrik dan air, termasuk keperluan keselamatan kebakaran.

“Adalah kurang wajar jika masalah kebakaran perkampungan atas air terus dipikul sendirian oleh JBPM Sabah kerana ia melibatkan semua pihak,” katanya.

Beliau menekankan bahawa pencegahan kebakaran bermula dari peringkat penghuni rumah kerana kesedaran individu memberikan kesan yang lebih besar dan boleh membantu membentuk budaya mengutamakan keselamatan termasuk mencegah kebakaran di perkampungan atas air.

Penghuni yang mempunyai kesedaran tentang perkara ini pasti akan berwaspada semasa melakukan aktiviti memasak, penyimpanan dan penggunaan bahan bakar, penggunaan peralatan elektrik, dan pendawaian elektrik.

Oleh itu, katanya, sudah tiba masanya bagi perkampungan atas air menerima saranan JBPM supaya diwujudkan Bomba Komuniti atau Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

“JBPM memerlukan bantuan pemimpin masyarakat seperti Ketua Masyarakat yang berperanan sebagai pengerak kepada aktiviti kesedaran masyarakat di perkampungan berkenaan untuk melaksanakan program kesukarelawan ini demi manfaat penduduk,” jelasnya.

JBPM bersedia memberi tunjuk ajar berkaitan pengetahuan asas, teknik pemadaman kebakaran serta penggunaan peralatan kebombaan dengan harapan tindakan awal Bomba Komuniti dan PBS dapat membantu menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kemusnahan akibat kebakaran. – BERNAMA

Loading...

Artikel Berkaitan



SUMBER : mynewshub.tv



Live Website Traffic


loading...