84 PERATUS TANAH WAKAF TELAH DIBANGUNKAN
0 month ago, 18-Sep-2023

KUALA LUMPUR: Setakat 31 Julai 2023, sebanyak 84 peratus tanah-tanah wakaf telah dibangunkan seperti pembinaan masjid, madrasah, tanah perkuburan, dan projek-projek komersil.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata hanya 16 peratus sahaja lagi tanah wakaf yang masih belum dibangunkan.
Antara isu yang timbul dalam membangunkan tanah wakaf antaranya ialah masalah setinggan, lokasi yang tidak strategik dan tidak sesuai dibangunkan serta kekurangan dana untuk pembangunan.
Namun, pembangunan wakaf tidak terhad di atas tanah wakaf semata-mata, malah wakaf juga boleh dilaksanakan menerusi pelbagai medium lain seperti wakaf tunai, saham wakaf, wakaf aset alih dan banyak lagi, katanya ketika Sesi Penggulungan Perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKE-12) di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden berhubung perancangan pihak kerajaan untuk menyelesaikan halangan-halangan dan merealisasikan idea pelaksanaan wakaf termasuk bidang kuasa dan pengurusan wakaf.
Menurut Mohd Naim walaupun wakaf termasuk dalam senarai bidang kuasa negeri, kerajaan melalui Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) bertindak bagi menyelaras pentadbiran harta wakaf selain membantu pihak Majlis-Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) memajukan harta umat Islam sebagai sumber kekuatan ummah pada masa hadapan.
Jelasnya JAWHAR, Yayasan Wakaf Malaysia (YWM), dan MAIN menjalinkan kerjasama yang erat dalam membangun dan memperhebatkan aktiviti wakaf di negara ini.
Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan seperti mesyuarat berkala, siri-siri bengkel dan program turun padang antara JAWHAR dan MAIN telah berjaya merapatkan jurang perbezaan yang ada.
Malah JAWHAR selaku penyelaras di peringkat Persekutuan turut menjalinkan kerjasama dengan Kementerian / Agensi Pusat seperti Pusat Geospatial Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Perkhidmatan Awam dan banyak lagi bagi membantu menyelesaikan isu-isu yang timbul berkaitan wakaf di peringkat MAIN, kata Mohd Naim.
Manakala di peringkat YWM yang berfungsi bagi mengumpul dana wakaf tunai dan memajukan harta wakaf pula, kerjasama dengan MAIN telah meningkatkan kutipan wakaf dalam bentuk tunai yang diagihkan semula dalam bentuk aset wakaf alih dan tak alih untuk manfaat masyarakat.
Oleh itu kerajaan percaya, pembangunan wakaf tidak akan terhenti setakat ini sahaja, malah banyak peluang boleh diteroka secara bersama oleh JAWHAR, MAIN dan sektor korporat dalam menjana ekonomi negara menerusi wakaf.
Sementara itu berhubung persoalan perbezaan Yayasan Wakaf MADANI dan Wakaf Malaysia, Mohd Naim menjelaskan perbincangan lanjut sedang dilaksanakan antara Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan JAWHAR dalam memperincikan pelaksanaan wakaf menerusi YWM mahupun Yayasan Wakaf MADANI.
Walau apa jua inisiatif yang dirangka, Kerajaan akan memastikan setiap entiti berhubung wakaf dapat berperanan dengan teratur dan telus, katanya. AlHijrha Online