PENUNGGANG MOTOSIKAL LARI ROADBLOCK, REMPUH ANGGOTA JPJ
0 month ago, 17-Sep-2023

PORT DICKSON: Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cedera selepas dirempuh seorang penunggang motosikal dalam operasi sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 28 Lebuh Raya Seremban Port Dickson (SPDH) menghala Port Dickson, pagi tadi.
JPJ dalam kenyataannya memaklumkan, kejadian melibatkan seorang penunggang motosikal jenis Yamaha Y125ZR yang melanggar sekatan dan merempuh anggota bertugas kira-kira jam 11 pagi tadi.
Hasil siasatan Bahagian Penguatkuasa JPJ Negeri Sembilan, penunggang motosikal itu masih mempunyai dua senarai hitam masih aktif dan telah diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Tindakan yang dikenakan antaranya Lesen Kenderaan Moto (LKM) Tamat Tempoh pada 18 Julai 2012 Seksyen 23 (1) APJ 1987; tiada perlindungan insurans di bawah Seksyen 90(1) APJ 1987; tiada lesen memandu kompeten (CDL) di bawah Seksyen 26(1) APJ 1987; dan sita di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987, katanya hari ini.
Tambahnya, satu laporan polis telah dibuat dan suspek diserahkan kepada Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) IPD Port Dickson bagi membantu siasatan.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, katanya.
JPJ dalam pada itu menasihatkan orang ramai untuk tidak melarikan diri atau bertindak diluar jangka ketika berhadapan dengan Operasi Penguatkuasaan SJR.
Terdahulu tular video memaparkan anggota JPJ yang sedang bertugas terpelanting dan terhantuk di kepala akibat dilanggar penunggang motosikal yang cuba melarikan diri daripada SJR.AlHijrah Online